Pengasas AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dikatakan bersedia untuk mengemudi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan peletakan jawatan beramai-ramai kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) bagi penggal 2025–2029.

Perkembangan terkini itu disahkan sumber laporan New Straits Times, yang memaklumkan bahawa ahli perniagaan berprofil tinggi tersebut bersedia memainkan peranan penting dalam usaha merombak semula landskap bola sepak negara.

Tony Fernandes bukanlah satu nama yang asing dalam arena bola sepak. Beliau pernah menjadi pemilik bersama kelab England iaitu Queens Park Rangers (QPR) yang pernah beraksi di EPL.

Beliau juga pernah memiliki kelab PJ Rangers, sebelum ini dikenali sebagai AirAsia Allstars, pada 2014-2018.

Pada 28 Januari lalu, barisan Exco FAM meletakkan jawatan beramai-ramai sebagai langkah menyelamatkan badan induk bola sepak tersebut yang terpalit dengan skandal pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan.

Keputusan drastik itu disifatkan penting bagi menjaga reputasi dan kepentingan organisasi FAM serta mengurangkan risiko lebih buruk yang boleh menjejaskan bola sepak Malaysia secara keseluruhan.

Susulan dengan itu, Tony Fernandes dikatakan berminat untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

“Fernandes bersedia untuk menerajui FAM dan membawa bola sepak Malaysia keluar daripada tahap rendah yang sedang dialami ketika ini,” ujar sumber terdekat Tony Fernandes seperti dilaporkan New Straits Times.

“Fernandes sememangnya sentiasa meminati sukan secara umum, khususnya bola sepak. Perkara itu dapat dilihat melalui penglibatan beliau sebelum ini dan juga ketika ini sebagai pemilik kelab serta penaja.”

“Bagi Malaysia, saya fikir beliau sudah sampai kepada kesimpulan bahawa ini merupakan isu sistemik dan keseluruhan sistem itu sendiri perlu dirombak semula.”

“Kepakaran perniagaan Fernandes amat penting dalam mewujudkan ekosistem komersial yang mampan untuk liga Malaysia dan kelab-kelabnya.”

“Kehadiran beliau sahaja juga mampu mengembalikan keyakinan korporat untuk melabur dalam bola sepak Malaysia,” kata sumber itu.

“Rakyat Malaysia kadangkala terlepas pandang keupayaan sebenar Fernandes, tetapi beliau ialah individu yang berjaya membina salah satu syarikat penerbangan paling berjaya di dunia daripada hampir tiada apa-apa dalam tempoh sekitar 25 tahun.”

“Beliau merupakan ikon global. Jika Fernandes mampu membuatkan ‘Everyone Can Fly’, saya yakin beliau juga mampu membuatkan bola sepak Malaysia kembali terbang,” jelas sumber itu lagi.

Bola Sepak Jiwa Tony Fernandes

Kenyataan itu bukanlah sekadar omong kosong. Tan Sri Tony Fernandes sebelum ini secara peribadi pernah menyuarakan hasrat tersebut untuk membantu bola sepak Malaysia pada 20 Julai tahun lalu.

“Saya suka bola sepak. Saya berusia 60 tahun dan saya masih bermain dan menendang bola. Jika mereka mahukan saya, saya boleh bantu.”

“Saya tidak pernah ditawarkan sebarang jawatan dalam FAM atau di mana-mana, kan? Mungkin saya terlalu kontroversi atau terlalu banyak bercakap.”

“Tetapi 100 peratus (atas tawaran untuk menyertai FAM), saya mahu melihat bola sepak kita kembali pada tahap terbaik.”

Sumber