Suasana hening yang suatu ketika dahulu menyelubungi Kampung Santan kini diganti dengan gelak tawa, aktiviti komuniti dan rutin harian yang lebih teratur.
Bermula dengan naik taraf kemudahan asas, perubahan menyeluruh ini bukan sahaja menceriakan persekitaran kampung, malah mengembalikan semangat kejiranan serta meningkatkan kualiti hidup penduduk pelbagai lapisan usia.
Jalan kampung yang kini lebih rata, selamat dan terang memudahkan pergerakan harian, manakala laluan pejalan kaki mesra pengguna memberi kelegaan kepada warga emas dan keluarga dengan anak kecil.
Dalam masa sama, kemudahan komuniti turut dipertingkat bagi memastikan keselesaan, sekali gus menyelesaikan pelbagai isu lama yang membelenggu penduduk.
Didiami pesara, pesawah dan pengusaha mangga Harumanis, Kampung Santan bukan sahaja lebih hidup, tapi penambahbaikan yang dilaksanakan bukan sahaja meningkatkan tahap keselesaan, malah merancakkan aktiviti sosial, memperkukuh hubungan kejiranan, dan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat.
Gudang usang kini nadi komuniti

Dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI oleh Kementerian Kesihatan, Kampung Santan menerima peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menaik taraf kemudahan awam secara menyeluruh disamping memperkenalkan inisiatif berasaskan komuniti untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk.
Antara kemudahan awam yang dinaik taraf termasuk dewan orang ramai, masjid, klinik, sekolah dan jalan raya. Kini, kemudahan tersebut bukan sekadar digunakan, malah menjadi pusat tumpuan utama aktiviti sosial, rekreasi dan kemasyarakatan.

Ahli jawatankuasa kampung, Azizan Abdullah, 64, berkata dewan orang ramai kini menjadi pusat aktiviti sosial dan rekreasi harian. Golongan muda dan warga emas berkumpul untuk bermain karom, pingpong dan dart.
“Dulu dewan ini hanya digunakan sebagai tempat simpan peralatan pertanian. Sekarang, inilah tempat kami berkumpul setiap hari dan hubungan sesama penduduk jadi semakin erat,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.
Menurut Azizan, sekurang-kurangnya 15 remaja hadir ke dewan setiap petang selepas pulang dari sekolah. Interaksi ini secara tidak langsung mewujudkan persekitaran yang sihat antara generasi muda dan tua.
Warga emas kembali aktif, komuniti lebih sihat
Selain naik taraf fizikal, inisiatif ini turut memperkenalkan program kesihatan dan kesejahteraan. Antaranya termasuk sesi fisioterapi khas untuk warga emas yang dijalankan selama beberapa bulan.
Sazali Jusoh, 60, pesara sektor swasta yang terlibat dalam program tersebut berkata, ramai warga emas kini lebih mudah bergerak berbanding sebelum ini. Mereka mengikuti sesi senaman secara berkala sebanyak tiga kali seminggu.
“Hasilnya sangat ketara. Ramai warga emas kini boleh berjalan tanpa bantuan dan ada yang kembali menunggang motosikal,” katanya,
Kementerian Kesihatan turut menyediakan peralatan senaman seperti resistance band untuk kegunaan penduduk dan menghantar petugas perubatan untuk pemeriksaan kesihatan dari rumah ke rumah. Ini memastikan penjagaan kesihatan tidak terhad di dewan atau klinik sahaja.
Rasa selamat kembalikan ketenangan

Aspek keselamatan di Kampung Santan turut di tambah baik dan perubahan besar jelas dilihat penduduk. Usahawan, Normala Ramli, 46, berkata pemasangan lampu jalan berkuasa solar memberi kesan besar terutama pada waktu malam.
“Walaupun jenayah jarang berlaku, pencahayaan yang baik membuatkan wanita dan kanak-kanak lebih yakin untuk bergerak. Ibu bapa kurang bimbang dan orang perempuan rasa lebih selamat ke masjid,” katanya.
Normala turut menyambut baik pembaikan jalan di sekitar kampung yang kini lebih rata. Keadaan ini membolehkan penduduk menunggang motosikal dan berbasikal tanpa perlu risau akan jalan berlubang.
Bagi pesara tentera, Husin Ahmad, 73, penambahbaikan seperti garisan jalan yang jelas, bonggol keselamatan dan papan tanda baharu sangat melegakan. Kemalangan kini jarang berlaku walaupun kawasan itu berhampiran masjid dan sekolah.

Klinik dan masjid berwajah baharu
Kemudahan kesihatan turut menerima manfaat ketara apabila klinik desa turut dinaik taraf dengan ruang rehat selesa, parkir OKU, peralatan yang lebih baik, dan ada penghawa dingin. Keadaan ini menjadikan perkhidmatan lebih teratur dan mesra pengguna.
Nor Azline Abu Bakar, 49, ibu kepada tiga anak termasuk seorang anak istimewa berkata, klinik tersebut amat penting untuk komuniti terutamanya bagi kampung yang mempunyai ramai warga emas.
Masjid Nurus Said pula melalui proses penambahbaikan dengan sistem penghawa dingin menyeluruh serta tandas mesra warga emas dan OKU. Kini, kehadiran jemaah semakin meningkat dan lebih banyak kuliah agama dapat dianjurkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan, Affandi Haron, merakamkan penghargaan kepada kerajaan MADANI atas pelaksanaan program yang disifatkan sangat berkesan, bersasar dan menyentuh keperluan asas rakyat.
“RM1 juta mungkin nampak kecil, tetapi kesannya sangat besar kerana ia digunakan sepenuhnya untuk manfaat penduduk,” katanya sambil berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang.