Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, kini menjadi nama terbaharu yang menyertai senarai pengkritik keputusan taktikal Thomas Tuchel selepas England tewas 2-1 kepada Argentina dalam separuh akhir Piala Dunia 2026.

Ketika menghadiri satu majlis bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino di New York, Trump secara berseloroh mempersoalkan pendekatan bertahan yang diambil England selepas mereka mendahului perlawanan.

Trump turut menyentuh mengenai kapten England, Harry Kane, yang menurutnya pernah bermain golf bersamanya di Florida.

“Kamu ada pemain yang hebat di dalam pasukan England, Harry Kane. Tetapi mungkin mereka melakukan kesilapan apabila menjadikannya sebagai pemain pertahanan.

“Mereka mendahului dan arahkan pemain terbaik mereka bertahan?

“Apa yang saya tahu tentang bola sepak?

“Apabila kamu sudah mendahului, kamu sepatutnya terus menyerang, bukannya menarik pemain terbaik ke bawah untuk bertahan,” katanya sambil berseloroh.

Kenyataan itu merujuk kepada keputusan Tuchel yang mengeluarkan dua pemain serangan dan memasukkan pemain pertahanan – termasuk penjaring gol – ketika England mendahului permainan.

Walaupun Kane kekal di atas padang, corak permainan England berubah menjadi lebih defensif.

Pendekatan tersebut akhirnya memakan diri apabila Argentina mengambil kesempatan.

Lionel Messi berjaya mengeksploitasi ruang yang ditinggalkan England sebelum mencipta dua bantuan gol yang membawa juara dunia itu melangkah ke pentas final.

Bagaimanapun, Tuchel enggan mengakui beliau melakukan kesilapan.

Pengendali Jerman itu menegaskan beliau hanya cuba membantu pasukan mengawal perlawanan, namun mengakui England menjadi terlalu pasif selepas perubahan taktikal dilakukan.