Amerika Syarikat telah mengambil langkah mengharamkan kemasukan warganegara dari sejumlah negara di seluruh dunia, sekali gus melarang mereka daripada memasuki negara itu sepenuhnya.
Penggal kedua pentadbiran Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat tidak berjalan lancar, apabila beliau baru-baru ini menyuarakan hasrat untuk mengambil alih Greenland, walaupun jika perlu dilakukan dengan cara “keras”.
Pada awal tahun 2026, Trump menggesa serangan peluru berpandu ke atas Venezuela serta mencadangkan penculikan presidennya, Nicolás Maduro, untuk dibawa ke AS dan didakwa atas kesalahan dadah serta senjata.

Minggu lalu, Trump turut menggelar mendiang Renee Good sebagai “penghasut profesional”, manakala pentadbirannya melabelkan wanita tersebut sebagai “pengganas domestik” selepas beliau maut ditembak ejen ICE pada 7 Januari.
Good ditembak tiga kali di bahagian muka oleh Ejen Jonathan Ross ketika berada di dalam keretanya, selepas didakwa terlanggar ejen tersebut ketika cuba memandu meninggalkan tempat kejadian. Insiden itu berlaku susulan arahan Presiden supaya ICE menjalankan serbuan besar-besaran di kawasan Minnesota.
Namun kontroversi tidak terhenti di situ, apabila beberapa negara kini terjejas akibat “penilaian semula pemprosesan visa imigran” oleh Amerika Syarikat.
Mengapa AS Mengharamkan Kemasukan 75 Negara?
Menurut memo Jabatan Negara AS, pegawai konsular telah diarahkan menolak permohonan visa berdasarkan undang-undang sedia ada, sementara proses penilaian semula terhadap sistem saringan dan tapisan keselamatan dijalankan.
Penggantungan ini dijadualkan bermula Rabu, 21 Januari, sebelum satu sistem baharu pemprosesan visa imigran diperkenalkan.
Jurucakap Keselamatan Dalam Negeri AS memaklumkan di platform X bahawa 75 negara terlibat kerana migran dari negara tersebut didakwa menggunakan bantuan kebajikan rakyat Amerika pada kadar yang tidak boleh diterima.
USA to ban 75 countries including Brazil before World Cup in huge 'visa halt'https://t.co/pYJEMioekZ pic.twitter.com/XP2uqGkUZ6
— Daily Star (@dailystar) January 14, 2026
“Penggantungan ini akan kekal sehingga Amerika Syarikat dapat memastikan pendatang baharu tidak mengeksploitasi kekayaan rakyat Amerika,” katanya.
Beliau turut mendakwa negara seperti Somalia, Haiti, Iran dan Eritrea sering menyaksikan pendatang mereka menjadi beban awam sebaik tiba di AS.
“Kami sedang berusaha memastikan kemurahan hati rakyat Amerika tidak lagi disalahgunakan. Pentadbiran Trump akan sentiasa mengutamakan Amerika,” katanya.
Senarai Penuh Negara Diharamkan Masuk AS pada 2026
Afghanistan, Albania, Algeria, Antigua dan Barbuda, Armenia, Azerbaijan, Bahamas, Bangladesh, Barbados, Belarus, Belize, Bhutan, Bosnia, Brazil, Myanmar (Burma), Kemboja, Cameroon, Cape Verde, Colombia, Côte d’Ivoire, Cuba, Republik Demokratik Congo, Dominica, Mesir, Eritrea, Ethiopia, Fiji, Gambia, Georgia, Ghana, Grenada, Guatemala, Guinea, Haiti, Iran, Iraq, Jamaica, Jordan, Kazakhstan, Kosovo, Kuwait, Kyrgyzstan, Laos, Lubnan, Liberia, Libya, Moldova, Mongolia, Montenegro, Maghribi, Nepal, Nicaragua, Nigeria, Macedonia Utara, Pakistan, Republik Congo, Rusia, Rwanda, Saint Kitts dan Nevis, Saint Lucia, Saint Vincent dan Grenadines, Senegal, Sierra Leone, Somalia, Sudan Selatan, Sudan, Syria, Tanzania, Thailand, Togo, Tunisia, Uganda, Uruguay, Uzbekistan dan Yaman.
Kesan Larangan Kemasukan Terhadap Pelancong
Pelancong dari negara-negara ini dilarang sementara memasuki Amerika Syarikat, namun kebimbangan kini tertumpu kepada Piala Dunia 2026.
Amerika Syarikat akan menjadi tuan rumah kejohanan itu bersama Kanada dan Mexico, dan timbul persoalan sama ada penyokong atau pemain sendiri akan dibenarkan memasuki AS menjelang majlis pembukaan pada 11 Jun.
Negara seperti Brazil, Colombia, Ivory Coast, Iran dan Uruguay telah layak ke Piala Dunia, namun berikutan larangan perjalanan ini, masih tidak jelas bagaimana rakyat dari negara-negara tersebut akan dibenarkan masuk.
Selain itu rakyat daripada negara yang tidak layak ke Piala Dunia – daripada senarai tersebut – juga tidak boleh menjadi pelancong sukan ke AS untuk memeriahkan Piala Dunia, selagi lagi sekatan itu berkuatkuasa.
Sebelum ini Trump tegas mengenakan sekatan ke atas penyokong dari Iran, kerana ketegangan politik antara kedua dua negara. Oleh itu, pemain pemain dan pegawai pasukan Iran turut akan disaring ketat. Ini termasuk semakan latar belakang keluarga dan juga hantaran di media sosial oleh mereka yang terlibat dan keluarga terdekat mereka.
Tempoh penggantungan ini juga belum ditetapkan, dan ramai berharap ia akan ditarik balik sebelum kejohanan bermula pada musim panas.