Skuad TRW Kelantan kini telah memecahkan rekod pasukan terbanyak bolos 100 gol dalam sejarah Liga Super Malaysia sejak kejohanan itu diperkenalkan pada tahun 2004.

Mereka dibelasah 0-7 ketika menentang Sabah semalam sekaligus dibolosi sebanyak 102 gol selepas mengharungi 23 perlawanan dan jumlah itu dijangka akan meningkat dalam baki 3 perlawanan terakhir.

Baca Juga:

Pada perlawanan itu, Sabah yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee mendahului seawal minit ke-25 menerusi sepakan penalti yang disudahi Jafri Firdaus Chew.

Sabah FC yang kehilangan empat tonggak utama kerana beraksi pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 tidak menghadapi masalah untuk menambah dua lagi gol menerusi Farhan Roslan dan Rizal Ghazali, sekali gus menjadikan kedudukan 3-0 pada separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Sabah FC terus menambah derita Kelantan apabila Irfan Fazail, Telmo Castanheira, Ramon Machado dan S Kumaarahan menjaringkan gol untuk memastikan kedudukan berubah kepada 7-0.

Situasi terbabit menyebabkan ketua jurulatih, Alfredo Vera meninggalkan bangku simpanan walaupun perlawanan belum lagi tamat kerana dipercayai terlalu kecewa pasukannya terus menjadi mangsa belasahan.

Kekalahan terbesar TRW Kelantan musim ini ialah ketika tewas kepada Selangor 11-2 dalam saingan Liga Super yang berlangsung pada 25 Ogos lepas.

Rekod pasukan paling banyak dibolosi dalam Liga Super sebelum ini dipegang oleh pasukan PDRM pada tahun 2009 iaitu sebanyak 75 bolos dan ketika itu juga saingan Liga Super membabitkan 14 pasukan.

Isu tunggakan gaji yang melanda TRW Kelantan menyebabkan beberapa tonggak utama telah angkat kaki dan ianya memaksa pengurusan menggunakan khidmat pemain muda yang kurang berpengalaman.