Bekas ketua pasukan TRW Kelantan, Badhri Radzi atau yang lebih dikenali dengan panggilan Piya meluahkan kekecewaan beliau terhadap situasi semasa yang sedang dialami pasukan lamanya.

Menerusi laman media sosial Instagram, kegagalan pihak pengurusan untuk menjaga pasukan Kelantan menyebabkan kelab dari Pantai Timur itu kini ibarat hancur.

Baca Juga:

“Ini la kalau tak pandai pegang bola sepak Kelantan. Hancur!” kata Badhri Radzi.

Kekecewaan Piya ini berasas dimana pasukan yang dulunya digeruni dalam saingan liga bola sepak tanah air itu dihimpit dengan masalah dalam dan luar padang.

Baru-baru ini, Kelantan memecahkan rekod dimana menjadi pasukan yang dibolosi 100 gol dalam sejarah Liga Super Malaysia sejak kejohanan itu diperkenalkan pada tahun 2004.

Mereka dibelasah 0-7 ketika menentang Sabah sekaligus dibolosi sebanyak 102 gol selepas mengharungi 23 perlawanan dan jumlah itu dijangka akan meningkat dalam baki 3 perlawanan terakhir.

Kekalahan terbesar TRW Kelantan musim ini ialah ketika tewas kepada Selangor 11-2 dalam saingan Liga Super yang berlangsung pada 25 Ogos lepas.

Rekod pasukan paling banyak dibolosi dalam Liga Super sebelum ini dipegang oleh pasukan PDRM pada tahun 2009 iaitu sebanyak 75 bolos dan ketika itu juga saingan Liga Super membabitkan 14 pasukan.

Selain itu, pengelola liga, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi First Instance Body (FIB) memutuskan Kelantan masih tidak diberikan lesen kerana beberapa perkara dimana kelab itu dikenakan denda RM20,000 atas kesalahan tidak mematuhi tempoh masa FIB.

Pihak FIB memberikan peluang terakhir sehingga 30 November untuk menyerahkan bukti bayaran tunggakan gaji sehingga 31 Ogos ataupun persetujuan bersama pemain dan pegawai kelab.

Selain itu, Kelantan perlu menghantar surat deklarasi yang membuktikan bahawa mereka bebas daripada sebarang tunggakan sehingga 30 November mengikut sub-kriteria kewangan F.09 Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023 beserta penyelesaian untuk kes-kes yang mempunyai keputusan FIFA dan FAM sebelum 31 Disember 2023.

Mengulas mengenai perkara ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata TRW Kelantan mungkin berdepan nasib sama seperti Melaka dan Sarawak sekiranya gagal menghantar dokumen yang diperlukan mengikut tarikh yang diberikan oleh FIB.