Thomas Tuchel berkata kejutan awal yang menyaksikan Jerman dan Belanda tersingkir daripada Piala Dunia 2026 akan membantu England kekal tenang dan tidak terlalu meletakkan harapan tinggi apabila berdepan DR Congo pada awal pagi esok.
England dilabel sebagai pilihan utama untuk mara ke pusingan 16 dalam aksi di Atlanta, namun perlawanan itu hadir hanya dua hari selepas Jerman tewas kepada Paraguay manakala Belanda disingkirkan Maghribi pada peringkat yang sama.
DR Congo Bukan Lawan Mudah Buat Tuchel
Mengikut rekod, DR Congo tidak pernah mara ke pusingan kalah mati sebelum ini manakala England memburu kejuaraan Piala Dunia kedua mereka, 60 tahun selepas menjulang trofi itu buat kali pertama dan satu-satunya pada 1966.
“Begitulah sifat bola sepak di peringkat kalah mati. Perlawanan antara Belanda dan Maghribi ibarat aksi suku akhir atau separuh akhir,” ujar Tuchel menurut sumber laporan ESPN.
“Manakala Brazil menentang Jepun pula sememangnya layak dianggap sebagai perlawanan suku akhir dalam mana-mana kejohanan berdasarkan kualiti yang dimiliki kedua-dua pasukan.”
“Apa yang dapat saya lihat, Kanada menemui gol kemenangan pada masa kecederaan ketika menentang Afrika Selatan, Maghribi pula menyamakan kedudukan pada masa kecederaan sebelum perlawanan berlanjutan sehingga penentuan penalti. Jerman juga terpaksa mengharungi penentuan penalti.”
“Saya fikir semua itu sedikit sebanyak membantu kami untuk kekal tenang. Jurang antara pasukan sangat kecil. Perlawanan berlangsung sengit dan ia mengingatkan kami supaya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi, sebaliknya melihat apa yang sudah berlaku dalam Piala Dunia kali ini dengan perspektif yang betul.”
“Setiap pasukan memiliki organisasi yang baik, bertahan pada tahap tertinggi dan membuat persiapan rapi. Sebab itu amat sukar bagi mana-mana pasukan untuk memecahkan benteng lawan, lebih-lebih lagi apabila anda turun sebagai pasukan pilihan menentang lawan yang tiada apa-apa untuk dipertaruhkan.”
“Bagi saya, semua ini membantu kami kekal tenang, menerima situasi yang ada dan memanfaatkannya sebaik mungkin.”