Keengganan Presiden UEFA, Aleksander Ceferin menghadiri aksi final Piala Dunia 2026 antara Sepanyol menentang Argentina menjadi petanda terbaharu bahawa hubungan antara FIFA dan badan bola sepak Eropah itu kini berada pada tahap yang sangat buruk.

Ceferin merupakan salah seorang naib presiden FIFA, namun kemelut susulan skandal Folarin Balogun telah menyebabkan hubungan antara FIFA dan UEFA mengalami keretakan yang serius.

Ketiadaan beliau pada aksi final di MetLife Stadium New Jersey itu dianggap sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Ceferin sebelum ini mengecam keputusan FIFA menangguhkan hukuman penggantungan Folarin Balogun akibat kad merah yang diterimanya, sekali gus membolehkan penyerang Amerika Syarikat itu turun menentang Belgium.

Badan induk bola sepak Eropah itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai ‘belum pernah berlaku, tidak masuk akal dan tidak boleh dipertahankan’, selain mendakwa FIFA telah melangkaui garis merah dalam hubungan antara kedua-dua badan tersebut.

halftime show
Kredit Foto: ANGELA WEISS / AFP

UEFA ‘Panas’ Dengan FIFA

Menurut sumber laporan The Times, UEFA dilaporkan semakin tidak selesa dengan dakwaan campur tangan politik di Piala Dunia selepas Donald Trump mendedahkan bahawa beliau menghubungi Gianni Infantino berhubung insiden kad merah Balogun.

Trump turut memuji keputusan FIFA menangguhkan hukuman penggantungan Balogun sebagai satu keputusan yang hebat.

Bagaimanapun, Infantino menafikan penglibatannya dalam keputusan tersebut. Menurut laporan The Times minggu lalu, keputusan itu dibuat oleh seorang sahaja daripada 18 anggota Jawatankuasa Tatatertib FIFA iaitu Mohammad al-Kamali dari Emiriah Arab Bersatu.

Dalam pada itu, UEFA turut tidak bersetuju dengan cadangan FIFA untuk memperluaskan Piala Dunia daripada 48 kepada 64 pasukan.

Infantino sebelum ini memaklumkan bahawa FIFA akan meneliti cadangan tersebut dengan lebih mendalam, namun Ceferin sudah menyifatkannya sebagai idea yang buruk. Malah, cadangan itu turut mendapat tentangan daripada presiden badan bola sepak Asia serta Concacaf.

Sebelum ini, UEFA mengambil langkah dengan melantik pengadil Somalia, Omar Artan untuk mengendalikan aksi Piala Super UEFA antara Paris Saint-Germain dan Aston Villa pada Ogos selepas beliau sebelum ini dinafikan kemasukan ke Amerika Syarikat bagi menjalankan tugas pada perlawanan Piala Dunia.

Sumber