Manchester United mengesahkan bahawa pemecatan Ruben Amorim menyebabkan kelab itu terpaksa menanggung kos hampir £16 juta.

Pengendali dari Portugal itu dipecat pada 5 Januari selepas beliau secara terbuka mengkritik kepimpinan tertinggi kelab susulan keputusan seri 1-1 menentang Leeds sehari sebelumnya.

Menurut sumber BBC, jumlah tersebut didedahkan dalam satu pemfailan kepada Bursa Saham New York pada Khamis, sehari selepas kelab itu mengesahkan mereka mencatat keuntungan sebanyak £32.6 juta dalam keputusan suku kedua berakhir 31 Disember 2025.

Disenaraikan sebagai “peristiwa yang berlaku selepas tempoh pelaporan”, United mengesahkan yuran pelunasan berjumlah £6.3 juta yang berkaitan dengan kos membawa Amorim ke Old Trafford dari Sporting pada November 2024 telah dihapus kira.

Pampasan Tinggi Buat Amorim

Selain itu, satu “peruntukan sebanyak £15.9 juta” akan dibuat, yang mewakili jumlah maksimum yang mungkin perlu dibayar United kepada Amorim dan barisan kejurulatihannya.

Tidak dinyatakan secara jelas dalam pemfailan tersebut apakah yang menyebabkan bayaran tertinggi itu, namun sumber yang memahami situasi berkenaan memaklumkan ia berkaitan dengan pekerjaan Amorim pada masa hadapan.

Beliau pada ketika ini masih belum tampil secara terbuka untuk bercakap mengenai tempohnya bersama United.

Sumber yang rapat dengan pengendali berusia 41 tahun itu memaklumkan tiada petanda beliau akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Bayaran tersebut melengkapkan satu eksperimen kejurulatihan dalam kem Manchester United yang mahal dan akhirnya berakhir dengan keputusan yang tidak memuaskan.

Sumber