Seorang usahawan terkenal, Haliza Maysuri telah menunjukkan set kain kelengkapan jenazah yang turut terdiri daripada kafan premium rekaan pereka fesyen terkenal, Rizlman Ibrahim.

Haliza kali ini membuat kejutan kepada pengikutnya yang seringkali tidak sabar mahu melihat baju dan busana terbarunya: “Yang ini pasti korang tak sabar juga,” tegasnya sambil menuju ke destinasi membeli kain kafan tersebut.

Haliza Maysuri kemudian memberitahu pengikutnya: “Ini adalah wasiat, kalau saya mati, saya tak nak kain kafan biasa, saya nak kain kafan Akhiri, sebagaimana baju saya di dunia ini, begitu juga pakaian mati saya.”

Kafan
Foto: IG Haliza Maysuri

Haliza akui dia selalu dikecam segelintir pihak kerana memakai pakaian berjenama mahal dan eksklusif. Dia menambah: “Saya selalu dikecam kerana tempah busana mencecah ratusan ribu ringgit. Mati nanti pakai kain kafan sahaja.

“Dan hari ini saya menempah pakaian alam kubur,” kata Haliza Maysuri di Instagram miliknya.

Pakaian di dunia, mahu yang berjenama, maka pakaian untuk akhirat pun harus terbaik dan berjenama.

“Barulah seimbang dunia dan akhirat,” tegasnya.

Dia kemudian mempersoalkan mereka yang suka ‘mengira dosa’ orang lain: “Kepada yang sibuk mengira dosa orang, korang dah tempah ke belum kain kafan untuk dibawa mati?”

Menurut Haliza, kain kafan premium yang dibelinya itu berharga RM1,998 untuk dua set.