Pelakon yang cukup sinonim dengan watak Ustaz Madi dalam drama bersiri Nur, Azhan Rani telah mencetuskan idea terpuji berkenaan pendakian amal bagi membantu insan memerlukan.
Hal ini kerana berikutan buah fikiran daripada beliau telah menyaksikan Pendakian Amal SAR (Summit Attack Resources) ke Island Peak dan Everest Base Camp (EBC) dapat direalisasikan.
Objektif utama pendakian ini adalah untuk mengutip dana bagi membantu sebuah rumah kebajikan, Persatuan Kebajikan AHSANA Kuala Lumpur di Puchong yang menempatkan orang kelainan upaya (OKU) dan Autism.
Pendakian melibatkan seramai 13 orang pendaki bagi menggalas cabaran mengibar Jalur Gemilang di Banjaran Himalaya, Nepal bermula semalam sehingga 13 Mac 2024.
Difahamkan, lima pendaki termasuk Azhan sendiri akan menawan puncak Gunung Island Peak (turut dikenali Imja Tse) setinggi 6,160 meter atau 20,210 kaki dari aras laut manakala baki lapan pendaki lagi akan melengkapkan misi ke Everest Base Camp (EBC) setinggi 5,364 meter atau 17,598 kaki dari aras laut.
Selain Azhan, pendakian amal ke Island Peak akan diketuai pendaki berpengalaman dan Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa serta pendaki tunggal wanita, Zarina Abd Rahman.
Pendakian ke Island Peak selama 18 hari ini dijangka sangat mencabar kerana ia merupakan pendakian teknikal di gunung bersalji.
“Kekuatan fizikal terutamanya sihat tubuh badan dan pengalaman diperlukan untuk mendaki gunung setinggi ini.
“Begitu juga dengan kelengkapan serta peralatan khas diperlukan bagi memastikan pendaki sampai ke puncak dan turun dengan selamat,” kata Mohd Fakhrul Munir.
Selain lokasi pendakian yang jauh dan kos yang tinggi, antara cabaran lain yang akan ditempuh dalam misi ini ialah suhu yang rendah sehingga mencecah -25 darjah Celcius.
Situasi itu mendedahkan pendaki kepada masalah kekurangan oksigen yang disebabkan oleh faktor ketinggian, sekali gus berdepan risiko mengalami Akut Gunung atau Acute Mountain Sickness (AMS) dan masalah cuaca seperti ribut salji.
Bagaimanapun, pendaki dijangka mampu berdepan situasi sukar ini kerana mereka berpengalaman dan pernah mendaki sehingga ketinggian lebih 6,000 meter selain Gunung Kalapatthar dan EBC.
Azhan Rani merupakan artis yang cukup gemar dengan aktiviti pendakian gunung apabila beliau pernah ‘menakluk’ EBC, Gunung Kalapattar (Nepal), Rinjani (Indonesia), Hallasan (Korea Selatan), Gunung Kinabalu (Sabah), Apad Runan dan Murud di Sarawak.
Senarai lima pendaki yang ke Island Peak
1) Mohd Fakhrul Munir bin Mohd Isa (42 tahun)
2) Azhan bin Abdul Rani (48 tahun)
3) Azmi bin Mohd Ariffin (39 tahun)
4) Zarina binti Abd Rahman (50 tahun)
5) Khalid bin Abd Hanid (59 tahun)
Senarai lapan pendaki ke EBC
1) Kamisan bin Abu Bakar (56 tahun)
2) Mohd Nohan bin Salim (61 tahun)
3) Dr Mohd Padzil bin Daros (60 tahun)
4) Adura binti Masood (60 tahun)
5) Linda Khoo Hui Lin (Koresponden Bernama di Bangkok) – 44 tahun
6) Anita binti Ahmad (58 tahun)
7) Azman bin Karim (58 tahun)
8) Mahdhar bin Mohd Noh (37 tahun)