Ketua jurulatih Indonesia B-23, Gerald Vanenburg yakin pasukannya akan beraksi dengan baik di hadapan penyokong sendiri pada Piala ASEAN B-23 2025 walaupun beliau baru pertama kali bertemu skuad kendaliannya secara bersemuka, bulan lalu.
Walaupun telah dilantik sebagai ketua jurulatih sejak Januari, pengendali dari Belanda itu tidak berpeluang untuk bekerjasama dengan para pemainnya sehinggalah mereka berkumpul di Jakarta pada akhir Jun bagi memulakan kem latihan untuk kejohanan tersebut.
Baca Juga:
- Ini Respon Vanenburg Selepas Indonesia Dilabel Calon Utama Juarai Piala ASEAN B-23

- Nafuzi Sasar Malaysia Ke Pentas Final Piala ASEAN B-23 2025

- Piala ASEAN B-23: Kim Sang-sik Anggap Indonesia & Thailand Ancaman Terbesar Vietnam

Piala ASEAN B-23 atau turut dikenali sebagai Piala Mandiri™ 2025 berikutan aspek penajaan adalah sebuah pentas yang menghimpunkan bintang muda ASEAN dan akan berlangsung di Indonesia dari 15 hingga 29 Julai.

Namun begitu, Vanenburg sempat menilai kemampuan anak-anak buahnya ketika mereka beraksi bersama kelab masing-masing sepanjang enam bulan lalu.
Sehubungan dengan itu, beliau percaya skuad muda ini mempunyai kualiti untuk mencipta kejayaan dalam kejohanan B-23 serantau tersebut, yang pernah dimenangi Indonesia pada tahun 2019.
“Saya telah dilantik sebagai jurulatih Indonesia B-23 sejak Januari, tetapi kami belum pernah berkumpul sehinggalah sekarang, jadi akhirnya saya dapat bertemu dengan para pemain yang telah dipilih,” kata jurulatih berusia 61 tahun itu, yang pernah beraksi sebagai pemain sayap untuk Belanda ketika mereka menjuarai Euro 1988.
“Namun begitu, walaupun kami belum lama bersama, saya telah memerhatikan ramai pemain sebelum ini dan saya merasakan bahawa para pemain ini memiliki banyak bakat. Kami percaya bahawa kami mampu membentuk sebuah pasukan yang hebat.”

skuad Garuda Muda pada kejohanan ini akan dibarisi pemain-pemain yang pernah membantu Indonesia mara ke separuh akhir Piala Asia B-23 AFC tahun lalu, termasuk kapten pasukan Muhammad Ferrari dan tonggak tengah, Arkhan Fikri.
Namun, reputasi bukanlah penentu utama buat Gerald Vanenburg, yang menegaskan bahawa pemilihan pemain untuk kejohanan ini akan bergantung sepenuhnya kepada prestasi semasa mereka dalam sesi latihan dan di atas padang.
“Tanpa mengira siapa lawan kita, kita mesti fokus kepada diri sendiri dan cuba untuk meningkat setiap hari sebagai satu pasukan dan sebagai individu,” katanya.
“Kita bermain untuk Indonesia dan untuk rakyat. Bagi kami, setiap kejohanan dan setiap perlawanan adalah penting. Prestasi yang baik dalam latihan, bermain dengan baik dan memenangi perlawanan akan menyumbang kepada keyakinan pasukan.”
“Setiap perlawanan adalah peluang untuk menunjukkan kepada rakyat betapa bagusnya kita, dan setiap pemain mesti berbangga apabila menyarung jersi Indonesia.”
Gerald Vanenburg Beri Amaran Kepada Pemainnya
Walaupun pasukannya dianggap pilihan untuk menjuarai kejohanan ini buat kali kedua, Vanenburg memberi amaran agar pemain tidak leka atau terlalu yakin.
“Bercakap mengenai lawan dalam kejohanan ini, terdapat beberapa negara yang kuat. Namun, setiap perlawanan itu berbeza, dan kami perlu sentiasa berwaspada serta beraksi dengan baik menentang setiap lawan,” ujarnya.

“Tetapi kami sangat yakin bahawa kami mempunyai pasukan yang bagus, dan kami boleh mencipta prestasi yang baik sepanjang kejohanan.”
Indonesia akan membuka kempen Piala Mandiri™ 2025 menentang Brunei pada 15 Julai di Stadium Gelora Bung Karno, sebelum menentang Filipina pada 18 Julai dan Malaysia pada 21 Julai di venue yang sama bagi baki aksi Kumpulan A.
Pasukan yang menamatkan saingan di tangga teratas setiap kumpulan bersama satu pasukan di tangga kedua terbaik akan layak ke separuh akhir yang dijadual berlangsung pada 25 Julai.
Pemenang separuh akhir akan bertemu di perlawanan akhir di Stadium Gelora Bung Karno pada 29 Julai.