Seramai 17,000 anggota polis telah ditugaskan di sekitar Mexico City dalam apa yang disifatkan sebagai operasi keselamatan terbesar pernah dilaksanakan bagi satu perlawanan bola sepak membabitkan England.

Menurut laporan The Standard, lebih 100 anggota polis antirusuhan lengkap memakai jaket kalis peluru ditempatkan bagi mengawal hotel penginapan skuad England selepas pasukan itu menerima sambutan dingin daripada penyokong Mexico.

Penyokong Mexico Cuba Ganggu Fokus Kem England

Difahamkan, England sebelum ini berharap lokasi penginapan mereka dapat dirahsiakan menjelang perlawanan itu selepas penyokong Mexico menggunakan pembesar suara, hon dan motosikal dalam usaha mengganggu tidur pemain Ecuador menjelang aksi pusingan 32 terbaik. Mexico kemudiannya melangkah ke pusingan 16 selepas menewaskan Ecuador 2-0.

Bagaimanapun, sebaik kem England tiba di hotel penginapan pasukan, ratusan penyokong Mexico sudah berkumpul di lokasi berkenaan. Ramai mencemuh skuad Three Lions, manakala sebahagian lagi melaungkan sorakan “Mexico”.

Kira-kira 200 penduduk tempatan dilaporkan turut berkumpul berhampiran hotel penginapan England pada Sabtu. Kawasan itu dikawal rapi dengan pagar keselamatan yang menghalang akses, manakala anggota Guardia Nacional berkawal di sepanjang perimeter.

Selain itu, unit anjing pengesan dan dron turut digunakan bagi memperketat kawalan keselamatan di sekitar hotel, sementara bas rasmi skuad England ditempatkan di luar premis.

Dalam video yang tular di media sosial, sekumpulan penyokong Mexico turut dilihat bermain bunga api dan mencetuskan bunyi bising bagi mengganggu waktu rehat pemain England di hotel penginapan mereka.

Bagaimanapun, segala usaha penyokong tuan rumah itu untuk memberi tekanan kepada England ternyata tidak berhasil apabila skuad Three Lions tetap mempamerkan aksi cemerlang untuk menewaskan tuan rumah bersama itu 3-2 dalam perlawanan penuh dramatik di Stadium Azteca, sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir.

Kemenangan itu membuktikan gangguan di luar padang, termasuk bunyi bising dan percubaan mengganggu rehat pemain di hotel penginapan, sedikit pun tidak menjejaskan fokus anak buah Thomas Tuchel yang kini bakal berdepan Norway bagi merebut tempat ke separuh akhir.

Sumber