Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah berkongsi perkembangan terkini pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya, 3 bulan selepas majlis pecah tanah projek berkenaan pada 26 Jun 2024.

Fasa 1 projek NTC yang merangkumi pembinaan tiga buah padang bola sepak dengan jenis rumput berbeza iaitu padang rumput asli (jenis bermuda), padang rumput hybrid dan padang rumput tiruan (artificial) yang dilengkapi lampu limpah sepenuhnya serta sistem saliran berkualiti, landskap dan pagar setinggi 6 meter di sekeliling kawasan padang dijangka siap pada Disember 2026.

Baca Juga:

Lihat rakaman penuh video projek pembinaa Pusat Latihan Kebangsaan di sini. 

Ia bakal disusuli dengan Fasa 2 projek NTC yang membabitkan pembinaan sebuah bangunan seluas 1,682.8 meter persegi yang merangkumi gimnasium, ruang serbaguna, bilik persalinan pemain, ruang rehabilitasi dan surau, selain pembinaan bumbung bagi padang rumput tiruan (artificial) yang dibina pada Fasa 1.

Kedua-dua Fasa 1 dan 2 projek NTC ini akan berjalan dalam waktu yang sama yang mana Fasa 2 dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2027.

Dengan terbinanya Pusat Latihan Kebangsaan ini, ia secara tidak langsung menjadi simbolik kepada pembangunan infrastruktur FAM yang telah dirancang sejak beberapa tahun lalu, termasuk projek pembinaan ibu pejabat baharu FAM, juga terletak di Presint 5, Putrajaya.