Sebut sahaja tentang saingan Thai League 1, tumpuan utama kita pastinya menjurus kepada ketua pasukan skuad kebangsaan, Dion Cools yang beraksi bersama Buriram United.

Minggu lalu juga menyaksikan beliau berjaya menjaringkan gol sulung bersama kelab gergasi Thailand itu ketika menentang Trat FC dimana beliau beraksi di posisi sayap kanan.

Baca Juga:

Namun selain daripada jaringan tersebut, ada perkara lain yang mungkin agak mencuri tumpuan melibatkan seorang pengadil perlawananan.

Mengadili perlawanan Muangthong United bertemu BG Pathum United, Songkran Bunmeekiart telah menunjukkan satu larian yang cukup luar biasa.

Ketika situasi serangan balas pantas dilakukan Muangthong United bermula di tengah padang membolehkan Jaroensak Wonggorn melakukan larian pantas ke arah pintu gol BG Pathum.

Tanpa disangka, Songran yang merupakan Pengadil Elit AFC dan turut memegang lencana FIFA melakukan larian pantas persis pelumba 100 meter untuk berada dekat dengan Jaroensak.

Tiada seorang pun rakan sepasukan Jaroensak yang tiba ke dalam kawasan penalti lawan sebelum pengadil berusia 33 tahun itu.

Malah, pertahanan BG Pathum juga kelihatan tidak mampu untuk mengejar Songkran.

Ketika situasi pada minit ke-84 tersebut, Jaroensak dengan tenang menewaskan penjaga gol BG Pathum, Kittipong Phoothawchuek bagi menamatkan aksi dengan kemenangan 2-0.

Selepas mengendalikan 11 perlawanan dalam saingan Thai League 1, Songkran telah mengeluarkan 44 kad kuning dan satu kad merah serta menghadiahkan satu sepakan penalti.

Kad merah tunggal itu dilayangkan buat pemain pertahanan Chiangrai United, Marco Ballini pada minit ke-59 ketika pertemuan menentang BG Pathum.