Vietnam muncul juara Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 selepas menundukkan Thailand 3-2 dalam aksi final kedua yang berlangsung di Stadium Rajamangala, sebentar tadi.

Kemenangan menerusi agregat 5-3 itu merupakan kejuaraan ketiga diraih oleh Vietnam yang sekali gus meranapkan impian Thailand untuk muncul juara buat kali kelapan dan ketiga berturut-turut.

Baca Juga:

Pham Tuan Hai membuatkan penyokong tuan rumah terdiam seawal minit kelapan selepas kuisannya setelah menerima hantaran sepakan percuma Pham Xuan Manh berjaya menewaskan penjaga gol, Patiwan Khammai.

Jaringan itu jelas meningkatkan moral anak buah Kim Sang Sik untuk mengawal permainan buat seketika.

Namun, selepas itu barisan pemain Thailand memperkemaskan aksi untuk mendominasi serta mencipta beberapa peluang bagi merobek gawang Vietnam.

Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-28 selepas percubaan ‘placing’ Ben Davies daripada kawasan luar penalti tidak mampu diselamatkan penjaga gol Vietnam, Nguyen Dinh Trieu untuk Thailand merapatkan defisit agregat permainan.

Thailand kembali menyamakan kedudukan apabila Supachok Sarachat melepaskan rembatan menarik dari luar kawasan penalti ketika aksi memasuki minit ke-64.

Jaringan itu bagaimanapun mencetuskan kontroversi kerana pemain Vietnam menganggap Suphacok tidak menunjukkan semangat kesukanan kerana Thailand mendapat penguasaan bola kerana pemain pasukan pelawat terlebih dahulu mengeluarkan bola ketika ada insiden kecederaan melibatkan Nguyen Huang Duc.

Tetapi pengadil perlawanan dari Korea Selatan, Ko Hyungjin tetap mengesahkan jaringan tersebut.

Ketika keyakinan semakin memuncak hasil jaringan tersebut, Weerathep Phompan diperintahkan keluar padang selepas pemain tengah itu menerima kad kuning kedua ekoran kekasalah dilakukannya terhadap Nguyen Quang Hai.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya Vietnam untuk mendapatkan jaringan hasil kesilapan pemain pertahanan, Pansa Hemviboon yang tertampan bola ke gawangnya sendiri dalam usaha untuk memintas umpanan lintang Tuan Hai bagi kembali memberikan kelebihan agregat buat mereka.

Thailand berusaha keras untuk mendapatkan jaringan penyamaan tetapi percubaan Suphanat sekadar singgah di palang gol ketika Dinh Trieu sudah pun tertewas.

Pemain gantian, Nguyen Hai Long mematikan api perjuangan Thailand selepas beliau mengambil kesempatan hasil serangan balas pantas ketika Patiwat naik ke atas bagi membantu jentera serangan ketika situasi sepakan penjuru untuk menolak masuk gol ketiga pelawat.

Keadaan yang membolehkan Vietnam berpesta bagi mengulangi pencapaian muncul juara edisi 2008 dan 2018.