Ketua jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti, menyifatkan Vinicius Junior sebagai “salah seorang pemain terbaik di dunia” selepas penyerang Real Madrid itu terus mempamerkan prestasi cemerlang di Piala Dunia 2026.

Vinicius menjaringkan dua gol ketika Brazil menewaskan Scotland 3-0 dalam aksi terakhir Kumpulan C, sekali gus memastikan Selecao mara ke pusingan 32 terbaik sebagai juara kumpulan.

Pemain berusia 25 tahun itu kini telah meledak empat gol dalam tiga perlawanan setakat kejohanan ini, menjadikannya antara calon utama untuk merebut Kasut Emas.

“Saya langsung tidak ragu-ragu tentang bagaimana dia akan tampil di Piala Dunia ini.

“Bagi dirinya, ia adalah satu penghormatan untuk bermain bersama pasukan kebangsaan. Dia bermain dengan baik dan dia juga menjaringkan gol menerusi tandukan, sesuatu yang sangat jarang berlaku untuk dirinya.

“Saya tahu sepenuhnya apa yang mampu dilakukan Vini. Dia adalah salah seorang pemain terbaik di dunia,” kata Ancelotti.

Vinicius sebelum ini turut menjaringkan gol ketika Brazil seri 1-1 menentang Maghribi serta dalam kemenangan 3-0 ke atas Haiti.

Pencapaian itu menyaksikannya menyamai rekod legenda Brazil apabila menjadi pemain pertama negara tersebut yang menjaringkan gol dalam ketiga-tiga aksi peringkat kumpulan sejak Ronaldo dan Rivaldo melakukannya pada Piala Dunia 2002.

Malah, hanya Jairzinho (1970), Romario (1994), Ronaldo dan Rivaldo (2002) pernah mencapai rekod sama sebelum ini.

Dalam masa sama, Vinicius mengakui perubahan posisi yang diberikan Ancelotti banyak membantu meningkatkan ketajamannya di hadapan gol.

“Saya sentiasa mengatakan bahawa saya tidak terlalu memikirkan angka. Saya tidak biasa menjaringkan begitu banyak gol, tetapi jurulatih telah meletakkan saya di posisi yang saya dapat sesuaikan diri dengan baik.

“Sekarang saya menjaringkan gol dan membantu pasukan. Saya harap dapat terus melakukannya sehingga ke perlawanan akhir,” katanya.

Sementara itu, kemenangan ke atas Scotland turut menyaksikan Neymar kembali membuat penampilan bersama Brazil buat kali pertama sejak Oktober 2023 apabila dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua.

Ancelotti memuji usaha pemain berusia 34 tahun itu yang bekerja keras untuk kembali cergas selepas tempoh panjang dibelenggu kecederaan.

“Dia layak untuk beraksi. Dia bekerja keras dan berlatih bersungguh-sungguh untuk mendapatkan semula kecergasannya.

“Dia berusia 34 tahun tetapi masih mempunyai semangat bermain bola sepak seperti seorang kanak-kanak,” ujar Ancelotti.

Brazil kini akan menanti naib juara Kumpulan F sama ada Belanda, Jepun atau Sweden dalam aksi pusingan 32 terbaik yang bakal berlangsung di Houston.