Penjaga gol Cape Verde, Vozinha, terus menikmati impak luar biasa daripada aksi cemerlangnya di Piala Dunia 2026 apabila dilaporkan bakal menerima kenaikan gaji lebih dua kali ganda selepas menyertai gergasi Chile, Colo-Colo.

Menurut laporan media Chile, La Cuarta, penjaga gol berusia 41 tahun itu menandatangani kontrak selama enam bulan bersama Colo-Colo dengan pilihan lanjutan sehingga penghujung 2027 sekiranya memenuhi jangkaan kelab dan jurulatih.

Sebelum mencipta sensasi di Piala Dunia, Vozinha beraksi di divisyen kedua Portugal dengan pendapatan sekitar AS$10,000 sebulan.

Namun, prestasi luar biasanya bersama Cape Verde menyaksikan Colo-Colo sanggup menawarkan gaji sekitar AS$25,000 sebulan atau sekitar RM102,100 sebulan.

Ia juga bersamaan kira-kira AS$300,000 setahun atau RM1.23 juta.

Vozinha menjadi antara nama paling mencuri perhatian di Piala Dunia apabila membantu Cape Verde muncul negara paling kecil dalam sejarah yang layak ke pusingan kalah mati.

Dia turut mencatat dua perlawanan tanpa bolos, termasuk mengikat juara dunia Sepanyol 0-0 pada aksi pembukaan kumpulan, sebelum Cape Verde tewas tipis 3-2 kepada Argentina selepas masa tambahan di pusingan 32 terbaik.

Perpindahan itu bagaimanapun mengundang reaksi bercampur dalam kalangan penyokong Colo-Colo.

Ada yang melihat kehadiran Vozinha sebagai peluang meningkatkan kualiti pasukan dan nilai pemasaran kelab, manakala sebahagian lagi mempersoalkan keputusan merekrut pemain berusia 41 tahun.

Menariknya, populariti Vozinha turut melonjak di media sosial selepas kejohanan itu apabila jumlah pengikut Instagramnya meningkat secara mendadak, sekali gus menjadikannya antara kisah paling luar biasa yang lahir daripada Piala Dunia 2026.