Peminat bola sepak tempatan berpeluang menyaksikan kelibat Wan Kuzain Wan Kamal bersama Harimau Malaya di pentas antarabangsa dalam masa terdekat.
Nama Wan Kuzain kembali menjadi sebutan apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan pemain yang berpengkalan dari Amerika Syarikat itu bakal dipanggil ke kem latihan skuad kebangsaan.
“Dia sepatutnya dah join kita kali ini (Pestabola Merdeka). Dia telah hubungi saya beberapa kali, tetapi nasib tidak baik dia tengah cedera.
“Insya-ALLAH apabila dia dah pulih dan dapat pasport, dia main untuk Malaysia. Dia dah berapa kali telefon saya untuk menyatakan hasrat main untuk negara,” katanya kepada pihak media.
Pemain berusia 25 tahun itu kini beraksi bersama pasukan divisyen 2 dalam sistem Liga Bola Sepak Amerika Syarikat, St Louis City 2.
Wan Kuzain pernah sertai kem latihan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara namun khidmat beliau gagal digunakan untuk saingan Sukan SEA 2019 disebabkan oleh masalah dokumentasi yang tidak dapat diselesaikan sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain.
Bapa kepada Wan Kuzain iaitu Wan Kamal sempat memberikan isyarat bahawa anaknya bakal menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya tidak lama lagi.
“Kuzain akan tiba tidak lama lagi,” dedah Wan Kamal kepada seorang peminat bernama Abrar Sadiq di laman Facebook.
Mungkin dalam masa terdekat, nama Wan Kuzain akan berada dalam senarai panggilan ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bagi menghadapi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric hujung tahun ini.