Ketua jurulatih baharu Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail sahut cabaran meskipun sedar tugas berat menanti apabila dilantik mengemudi pasukan itu pada baki saingan Liga Malaysia 2024-2025.
Beliau menganggap bukan tugas yang mudah untuk melatih pasukan yang kini sedang bergelut apabila kini berada di tangga ketiga tercorot Liga Super selepas 14 perlawanan.
Baca Juga:
- Bekas Pemain Selangor Anggap Liga Korea Terbaik Di Asia
- Selangor Tebus Kontrak Nooa Laine
- FAM Akan Ambil Tindakan Insiden Arif Aiman Dan Tommy Mawat
Namun, beliau percaya dengan keupayaan barisan pemain untuk kembali bangkit menerusi strategi dan perancangan baharu terutamanya dalam saingan Unifi Piala Malaysia bagi aksi menentang Kuching City FC pada pusingan 16, Khamis depan.
“Betul, cabaran besar menanti saya selepas ini dan perlawanan pertama lawan Kuching City itulah akan menjadi titik permulaan untuk saya.
“Tetapi pasukan ini sebenarnya bukanlah asing untuk saya sebab pernah bermain pada tahun 2003 dan sebagai jurulatih Piala Presiden pada tahun 2020.
“Jadi bila saya dapat tawaran ini, saya memang tak fikir panjang dan positif dengan pengalaman yang saya ada dapat bawa perubahan kepada kelab ini,” jelasnya.
Bekas penolong jurulatih Kuala Lumpur City FC ini dalam misi untuk menilai pemain-pemain dengan lebih rapat memandangkan beliau hanya ada lebih kurang satu minggu sahaja untuk mempersiapkan pasukan berdepan Kuching City.
“Saya harus menggunakan masa yang ada ini untuk kenal terlebih dahulu dengan pemain-pemain yang ada ketika ini.
“Jadi, hari ini (semalam) hari pertama saya bersama pasukan dan berharap kami dapat lebih serasi untuk perbaiki segala aspek dengan lebih baik.
“Saya ada kenal juga sebahagian daripada pemain yang pernah bersama saya sebelum ini, tetapi sekarang tugas saya adalah untuk menambah baik kekurangan yang ada”, tambahnya.
Wan Rohaimi hadir ke Penang FC bagi menggantikan posisi ketua jurulatih sebelum ini iaitu Akmal Rizal Ahmad Rakhli.