Seorang wanita berusia 27 tahun dicekup di Kuala Pilah selepas didakwa selamba minum air ketika sedang bersiaran langsung di TikTok sekitar jam 6.45 petang dalam bulan Ramadan.
Tindakan tersebut dipercayai berlaku di kawasan Kuala Pilah sebelum rakaman live itu tular di media sosial dan mengundang pelbagai kecaman daripada netizen.
Wanita tersebut menyatakan bahawa dia tidak berpuasa kerana dia masih berpantang. Dia juga dengan sinis mengecam netizen yang mempersoalkan wanita itu seperti bukan beragama Islam.
Dia berkata: “Agama? Islam awak.”
Dia juga gembira melihat ramai yang masuk ke siaran strim langsung yang dia buat sambil meminum air.
Wanita itu menyatakan bahawa dia bangga membuat konten tidak berpuasa untuk tatapan umum dan membidas netizen: “Siapa suruh kamu semua datang ke strim saya.”
Netizen berpendapat, adalah difahami bahawa wanita itu tidak berpuasa kerana berpantang. Namun kenapa dia perlu membuat konten tidak berpuasa secara langsung untuk dipertontonkan kepada umum.
Tindakan itu dianggap tidak menghormati bulan ramadan. Seterusnya ada juga yang hairan kerana ada beberapa individu non muslim membuat konten berpuasa, sementara yang beragama Islam pula sebaliknya.
orang bukan islam kemain buat content puasa ramadan.. yang islam sejak lahir ni berlumba2 buat content tak puasa 😂 apa nak jadi la.. kalau ye pun tak puasa atas keuzuran melahirkan ke apa. hormat bulan ramadan makan sendiri dirumah tak perlu buat live
— jiennax (@jiennax) February 25, 2026
Selain itu, ini juga membuatkan ramai bimbang melihat trend terbaru di mana semakin ramai individu yang tanpa rasa takut memuat naik konten tidak berpuasa di media sosial.
Menurut Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), wanita berkenaan kini sedang disiasat di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 atas kesalahan dipercayai menghina atau mencela agama Islam.
Pengarahnya, Mohd Asri Abdullah menegaskan bahawa umat Islam perlu lebih peka terhadap sensitiviti agama serta menjaga adab dan tingkah laku sepanjang bulan Ramadan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan tontonan umum di platform media sosial.
Tambah beliau, JHEAINS tidak akan berkompromi dalam isu yang menyentuh kesucian agama dan akan terus mengambil tindakan tegas bagi memastikan hal ehwal Islam di Negeri Sembilan diuruskan selaras dengan syariat serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan.