Warga asing yang ingin mendapatkan pekerjaan dan menetap di negara ini sanggup membayar ribuan ringgit untuk dapatkan MyKad Palsu.
Menurut laporan Harian Metro, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, maklumat itu diperoleh hasil risikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang kini menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti sindiket pemalsuan kad pengenalan dalam negara.
“Melalui hasil risikan JPN, terdapat penawaran kad pengenalan palsu dengan harga sekitar RM4,000 hingga RM5,000.
“Kebanyakan permintaan ini datangnya daripada warga asing yang ingin mendapatkan pekerjaan dan menetap di Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab, di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan sejauh manakah langkah pemantauan serta tindakan penguatkuasaan diambil terhadap sindiket pemalsuan MyKad.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan JPN sedia melaksanakan pemantauan berkala bagi mengesan sebarang aktiviti mencurigakan termasuk penjualan kad pengenalan palsu atau perkhidmatan pemalsuan identiti secara atas talian.
Malah, pemantauan itu membabitkan semua platform media sosial antaranya Facebook, Instagram, Telegram dan TikTok bagi memastikan sebarang aktiviti haram dapat dikesan dan ditangani dengan segera.
“JPN giat menjalankan pemantauan dan melaksanakan kerjasama dengan pihak penguat kuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Selain itu, JPN juga giat melaksanakan kempen kesedaran untuk memberikan pendedahan dan meningkatkan pengetahuan orang awam mengenai kepentingan menjaga dan melindungi dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan JPN,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai juga boleh membuat aduan kepada saluran rasmi JPN atau di 210 cawangan JPN di seluruh negara bagi melaporkan aktiviti penawaran kad pengenalan secara tidak sah terbabit.