Rehat hidrasi (hydration break) yang pertama kali diperkenalkan pada Piala Dunia 2026 disifatkan oleh Ketua Pembangunan Bola Sepak Global FIFA, Arsene Wenger tidak menjejaskan kelancaran permainan dan tidak memberi sebarang kesan terhadap keputusan perlawanan.

Walaupun berpendapat sedemikian, Wenger mengakui bahawa masa depan penggunaan rehat tersebut masih belum diputuskan.

Rehat selama tiga minit yang diberikan pada pertengahan setiap separuh masa itu diwajibkan oleh FIFA dalam setiap perlawanan Piala Dunia kali ini, tetapi pelaksanaannya masih belum menjadi amalan biasa dalam semua pertandingan bola sepak di seluruh dunia.

Klopp
Kredit Foto: Fran Santiago / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP

Namun menurut sumber laporan ESPN, rehat hidrasi itu dijangka menjadi antara topik utama dalam rundingan hak penyiaran pada masa akan datang.

Hal ini kerana pihak penyiar melihat tempoh rehat tersebut sebagai peluang untuk menyiarkan ruang komersial atau iklan ketika perlawanan berlangsung.

ESPN turut mendedahkan Fox yang menyiarkan kejohanan tersebut di Amerika Syarikat dijangka memperoleh sekurang-kurangnya $250 juta hasil daripada iklan yang disiarkan ketika rehat itu sahaja.

FIFA Bakal Buat Analisis

FIFA memaklumkan bahawa mereka akan membuat analisis terhadap penggunaan rehat hidrasi selepas tamat Piala Dunia susulan pelaksanaannya dalam kejohanan tersebut yang mencetuskan pelbagai kritikan.

Wenger: FIFA Akan Kaji Semula 'Hydration Break' Selepas Terima Banyak Kritikan
Kredit Foto: Aric Becker / AFP

“Tidak, ada kalanya orang ramai tidak menyukainya dan kami perlu menganalisis selepas Piala Dunia apakah kesannya,” kata Wenger

“Ia tidak kelihatan kepada saya bahawa perkara itu mengubah keputusan pertandingan. Namun, kami berada di sini untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada peminat yang menonton bola sepak dan kami akan membuat kesimpulan selepas kejohanan ini berakhir.”

“Dalam beberapa perlawanan, ia memang sangat diperlukan. Disebabkan kami mahu memastikan terdapat perbezaan dalam cara perlawanan dikendalikan, kami memutuskan untuk melaksanakannya sejak awal kejohanan.”

“Kami akan melakukan analisis secara mendalam selepas kejohanan ini,” tambah Wenger lagi.

Sumber