Arsene Wenger berpendapat bahawa Jurgen Klopp mungkin bukan penyelesaian ajaib yang diperlukan Jerman selepas kempen mengecewakan mereka di Piala Dunia 2026.

Dengan Klopp yang dikatakan sudah bersetuju untuk menggantikan Julian Nagelsmann sebagai ketua jurulatih, harapan penyokong Jerman berada pada tahap yang sangat tinggi.

Namun, Wenger percaya cabaran yang bakal dihadapi jauh lebih rumit daripada sekadar melantik seorang pengurus bertaraf dunia yang memiliki kemampuan luar biasa untuk membakar semangat pemain.

“Nama seperti Klopp memang memberi harapan kepada Jerman untuk kembali berada di tahap tertinggi. Tetapi sama ada beliau mampu mengubah segala-galanya, saya sendiri tidak pasti.”

“Jerman sebenarnya mempunyai masalah yang lebih besar. Sekali lagi, saya langsung tidak mempertikaikan kualitinya. Namun saya tidak tahu sama ada dia seorang sahaja mampu menyelesaikan semua masalah Jerman.”

“Dia seorang yang bijak dan saya yakin dia sendiri sedar perkara itu,” ujar Wenger menurut sumber laporan Goal.

Bagi menguatkan hujahnya, Arsene Wenger mengambil contoh situasi di Amerika Selatan apabila seorang lagi jurulatih bertaraf dunia turut bergelut untuk mengubah nasib sebuah kuasa besar bola sepak iaitu Brazil.

Wenger Anggap Klopp Bukan Penyelesai Masalah Jerman

“Tiada siapa mempertikaikan kualiti Klopp. Dia seorang pengurus yang hebat.”

“Lihat sahaja Brazil. Mereka membawa masuk Carlo Ancelotti tetapi mereka masih mempunyai pemain yang sama. Pemain yang bagus memerlukan jurulatih yang hebat dan jurulatih yang hebat juga memerlukan pemain yang bagus. Anda perlukan kedua-duanya sekali.”

“Saya tidak fikir dia (Julian Nagelsmann) melakukan sebarang kesilapan besar sepanjang kejohanan ini. Apa yang kurang pada Jerman ketika ini ialah sesuatu yang sangat penting, kejohanan ini menunjukkan betapa perlunya seorang penjaring gol tulen.”

“Anda memerlukan seorang pemain yang mampu menjaringkan gol pada saat-saat genting, seperti Harry Kane bersama England.”

“Namun, Jerman tidak memiliki pemain seperti itu ketika ini,” tambah beliau lagi.

Sumber