Liverpool mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Newcastle United dalam aksi penuh mendebarkan di St James’ Park awal pagi Selasa waktu Malaysia.

Dalam perlawanan ini berlaku pelbagai insiden panas termasuk kad merah kontroversi serta gol kemenangan pada masa kecederaan.

Sebelum sepak mula, bahang perlawanan ini dihangatkan oleh kontroversi melibatkan Alexander Isak yang mendesak perpindahan ke Liverpool.

Peminat Newcastle benar benar memberikan atmosfera sangat tegang kepada Liverpool.

Liverpool serap tekanan

Liverpool membuka tirai jaringan pada minit ke-35 menerusi Ryan Gravenberch yang melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti, menewaskan Nick Pope.

Ini adalah aksi pertama Gravenberch bersama Liverpool. Dia sebelum ini diberikan cuti khas sempena isterinya yang bersalin.

Malang buat Newcastle, kedudukan mereka semakin sukar apabila Anthony Gordon dilayangkan kad merah pada penghujung babak pertama selepas semakan VAR menaik taraf hukuman daripada kuning kepada merah akibat terjahan keras terhadap Virgil van Dijk.

Hanya seminit selepas babak kedua bermula, Hugo Ekitike menambah derita tuan rumah dengan gol kedua Liverpool, menjadikan kedudukan 2-0.

Kebangkitan Newcastle

Namun, semangat juang Newcastle benar benar wajar dipuji. Mereka memberikan persembahan terbaik dengan 10 pemain.

Pada minit ke-57, kapten, Bruno Guimaraes menanduk masuk bola hasil sepakan sudut untuk merapatkan kedudukan.

Kebangkitan Newcastle semakin membara apabila pemain gantian, William Osula, menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-88, sekali gus menghidupkan harapan penyokong tuan rumah.

Ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, muncul detik paling dramatik. Rio Ngumoha, pemain berusia 16 tahun yang membuat penampilan sulung, meledak gol kemenangan Liverpool pada minit ke-100.

rio

Gol itu bukan sahaja memastikan tiga mata berharga buat The Reds, tetapi juga menjadikan Ngumoha sensasi baharu dalam dunia bola sepak.

Pundit dan peminat menganggap ini adalah satu lagi aksi klasik EPL melibatkan Liverpool dan Newcastle.