Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal mara ke separuh akhir Final Jelajah Dunia (World Tour Finals) 2023 selepas tewas pada aksi ketiga yang berlangsung di Hangzhou, China sebentar tadi.

Ketika Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi sudah membantu dengan kemenangan ke atas Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, Aaron dan Wooi Yik bagaimanapun tidak mampu menghalang kemaraan Liang Wei Keng-Wang Chang.

Baca Juga:

Semuanya kelihatan berada di landasan tepat buat pasangan negara itu apabila mereka berjaya memenangi set pertama dengan keputusan 21-18.

Tersentak dengan kekalahan tersebut, gandingan China yang kini berada di ranking pertama dunia bangkit dengan corak permainan lebih kemas.

Selepas terikat 8-8, Wei Keng dan Wang Chang tidak memberikan laluan mudah buat Aaron-Wooi Yik untuk memenangi set kedua 21-14 yang sekali gus meleburkan impian pasangan negara untuk ke separuh akhir meskipun masih berbaki satu set.

Aksi di set ketiga turut memperlihatkan penurunan prestasi Aaron-Wooi Yik yang membolehkan Wei Kang-Wang Chang memenangi kemenangan dengan 24-12.

Dengan kemenangan itu, Liang Wei Keng-Wang Chang akan mengiringi rakan senegara, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi mara ke separuh akhir.

Berada di kedudukan keempat peringkat kumpulan menyaksikan Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan membawa pulang wang tunai bernilai $17,500 (RM81,856.25).

Sandaran negara untuk mara ke separuh akhir kini terletak di bahu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang akan berhadapan dengan wakil Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Malam tadi pasangan sedang meningkat naik itu mencipta kejutan ke atas gandingan ranking kedua dunia, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.