Kira-kira setahun selepas menggemparkan arena automotif dunia menerusi catatan kelajuan 496.22km/j di Jerman pada September 2025, jenama kenderaan mewah milik BYD, YANGWANG, sekali lagi melakar pencapaian bersejarah apabila hypercar elektriknya berjaya mengatasi rekod berkenaan dan melepasi 500 km/j.
Dalam sesi ujian kelajuan tinggi yang diadakan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 1 November 2026, model YANGWANG U9 Xtreme secara rasmi mencatatkan kelajuan maksimum 503.17km/j.
Kejayaan tersebut menjadikannya model pengeluaran bersiri (kereta produksi) pertama di dunia yang berjaya mengatasi paras 500 km/j, selain menerima pengiktirafan rasmi daripada badan induk sukan permotoran antarabangsa, Fédération Internationale de l’Automobile (FIA).
Memetik kenyataan rasmi FIA, pencapaian bersejarah ini bukan sahaja memadam rekod terdahulu di Jerman dengan peningkatan kelajuan sebanyak 6.95 km/j, malah turut meraih dua pengiktirafan Guinness World Records bagi kelajuan tertinggi kategori kereta produksi dan kereta elektrik produksi menerusi larian satu hala (single-direction run).
Ujian kelajuan berkenaan dilaksanakan di Lebuhraya Antarabangsa Sheikh Khalifa Bin Zayed (E11) di Wilayah Al Dhafra, Abu Dhabi, dengan dipandu oleh pelumba berpengalaman dari Jerman, Marc Basseng—individu sama yang mengendalikan jentera tersebut semasa mencipta rekod di litar ujian ATP Papenburg tahun lalu.
Percubaan di Abu Dhabi berlangsung selama dua hari dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan serta di bawah pemantauan penuh FIA.
Bagi memastikan tahap keselamatan optimum, laluan sepanjang 10 kilometer ditutup sepenuhnya kepada orang awam, termasuk jajaran lurus sepanjang tujuh kilometer khusus bagi larian kelajuan maksimum.
Selepas dua sesi ujian awal pada 31 Oktober mencatatkan kelajuan 490km/j, barisan jurutera membuat pelarasan terperinci terhadap aspek aerodinamik, tetapan sistem suspensi dan tekanan tayar bagi memaksimumkan kestabilan jentera.
Usaha itu membuahkan hasil dalam larian kedua pada 1 November apabila jentera berkenaan berjaya mencecah kelajuan rasmi 503.17km/j.
YANGWANG memperlihatkan lonjakan prestasi yang amat konsisten dan pesat sejak projek U9 diperkenalkan pada tahun 2024:
Januari 2024: Ujian awal di China mencatat kelajuan 309km/j.
Oktober 2024: Mencecah 391.94km/j di ATP Papenburg, Jerman.
Ogos 2025: Varian U9 Xtreme mencapai 472.41km/j.
September 2025: Menetapkan penanda aras 496.22km/j di Jerman.
November 2026: Melakar rekod dunia baharu 503.17km/j di Abu Dhabi.
Dari sudut teknikal, jentera elektrik berprestasi tinggi ini dikuasakan oleh empat motor elektrik bebas yang berupaya menjana kuasa gabungan melebihi 3,000 PS. Spesifikasi jentera ini turut dilengkapi dengan seni bina elektrik 1,200 volt, sistem agihan tork canggih, ampaian aktif pintar, teknologi pengurusan haba bateri voltan tinggi, serta tayar khas berprestasi tinggi hasil kerjasama dengan pengeluar Giti Tire.
Kejayaan memecahkan rekod kelajuan garis lurus ini melengkapkan profil pencapaian luar biasa U9 Xtreme, yang sebelum ini merekodkan masa sepusingan 6 minit 59.157 saat di litar legenda Nürburgring Nordschleife, Jerman—iaitu rekod masa pusingan terpantas bagi kategori kenderaan elektrik produksi.
Menurut kenyataan rasmi FIA lagi, pengiktirafan rekod 503.17km/j ini merupakan satu mercu tanda penting dalam evolusi kejuruteraan automotif, sekali gus membuktikan bahawa teknologi kenderaan elektrik pengeluaran bersiri masa kini berupaya mengatasi had kemampuan fizikal dan prestasi tertinggi di dunia.