Pemilik TRW Kelantan, Norizam Tukiman atau Zamsaham memberi jaminan beliau tidak akan culas dari membayar tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan dari skuad musim lalu.

Beliau berkata demikian selepas memberi wang pendahuluan sebanyak RM1,000 kepada pemain apabila tiba perayaan hari raya Aidil Fitri dan beliau turut menegaskan bayaran itu merupakan bukti beliau tidak akan lari dari melunaskan tunggakan gaji.

Baca Juga:

“Berkenaan RM20,000 pembayaran yang saya berikan kepada pemain. Alhamdulillah dengan jumlah tersebut kita berikan kepada pengurusan dan pemain semua. Kita berikan RM1,000.

“Awal pagi hari raya lagi saya dah maklumkan kepada pemain, cumanya saya terkejut apabila ada yang komen untuk memboikot ramai-ramai dan tidak terima RM1,000 yang saya berikan.

Saya faham kalian nak gaji penuh, tetapi saya berikan dahulu RM1,000 sebagai pendahuluan, menunjukkan saya ada komitmen dan tidak lari untuk bayar baki gaji,” kata Zamsaham.

Sebelum ini, salah seorang bekas pemain Kelantan iaitu Khairul Helmi Johari meluahkan rasa tidak puas hati selepas kenyataan yang dimuat naik oleh pemilik kelab itu baru-baru ini.

“Itu pun 20 orang saja dapat, siapa cepat pula tu, kena bersyukur pula tu, saya tak dapat pun,” tulisnya di Facebook dengan memasukkan emoji ketawa.

Kelantan FC musim ini akan bersaing di Liga A1 Semi Pro dan penyertaan mereka disahkan oleh Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.

“Secara rasmi 16 pasukan ini adalah Armed Forces FC, Harini Selangor FT, Imigresen FC, Malaysian University, Melaka FC, YPM FC, Manjung City FC, PIB Shah Alam FC.

“Turut menyahut cabaran adalah Bukit Tambun FC, Machan FC, Gombak FA, Bunga Raya FC, KL Rovers, UiTM United, Kelantan FC dan Putrajaya Athletic FC,” katanya.