Bekas pemain skuad kebangsaan Malaysia dan JDT, Zaquan Adha Abdul Radzak, mencuri perhatian ramai selepas memuat naik satu hantaran Instagram yang dipercayai meluahkan rasa kecewa terhadap sikap seorang pemain bola sepak yang didakwa bersikap sombong ketika dihubungi olehnya.

Menerusi hantaran di Instagram Story, Zaquan mendakwa beliau hanya bertanya tentang kadar bayaran atau rate pemain berkenaan, namun menerima layanan yang tidak disenangi.

“Jangan ingat kerana nama kamu sedang disebut-sebut sekarang, kamu boleh berlagak. Saya bukan meminta wang daripada kamu.

“Saya hanya bertanya tentang kadar bayaran kamu. Kamu ingat saya ‘hamak’ sangat dengan kamu kah? Budi bahasa itu penting,” tulis Zaquan.

Zaquan turut mengingatkan bahawa populariti serta kejayaan dalam dunia bola sepak tidak akan kekal selamanya.

“Saya pernah berada di tempat kamu sekarang.

“Mungkin saya tidak sehebat kamu, tetapi kalau gambar muka terpampang di Billboard, saya pernah merasainya.

“Jadi, tidak perlulah kamu berlagak dan bercakap seolah-olah kadar bayaran kamu ini terlalu tinggi. Kamu hanya perlu memberitahu berapa kadarnya,” katanya lagi.

Dalam hantaran sama, Zaquan yang pernah menjadi antara tonggak utama Harimau Malaya turut menegaskan bahawa setiap pemain akan melalui fasa berada di bawah, terutama sekali selepas karier bola sepak berakhir.

“Ingatlah, kita tidak akan sentiasa berada di atas. Apabila suatu hari nanti kamu berhenti bermain bola sepak, barulah kamu tahu langit tinggi ke rendah.

“Masa itu pasti akan tiba. Tidak selamanya kita akan berada di atas,” ujarnya.

Malah, beliau turut membandingkan sikap individu tersebut dengan pemain-pemain yang telah memenangi pelbagai kejuaraan tetapi masih merendah diri.

“Pemain yang pernah memenangi 12 kejuaraan pun tidak sombong seperti kamu.

“Baru sahaja mara ke final Piala S, sudah bersikap begitu. Nasib baik JDT tidak menandatangani kamu dahulu,” tulisnya.

'Baru Main Final Piala S Dah Sombong' - Zaquan Adha Kecam Siapa Itu?

Setakat ini, Zaquan tidak mendedahkan identiti pemain yang dimaksudkan. Namun, hantaran tersebut pantas mencetuskan perbincangan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang cuba meneka siapakah individu yang dimaksudkan.