Bekas penyerang skuad kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak memutuskan untuk bersara dari dunia bola sepak profesional selepas hampir dua dekad beraksi dalam Liga Malaysia.

Akan tetapi, pemain itu menegaskan pengakhiran tersebut tidak sesuai dengan jangkaan beliau dimana hanya menerima sekeping surat yang mengatakan kontraknya bersama Negeri Sembilan tidak disambung.

Baca Juga:

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan, Faliq Firdaus kemudiannya mendedahkan perkara sebenar menerusi sosial media miliknya baru-baru ini.

“Kontrak Zaquan Adha tamat pada 17 Disember 2023 dan kedua-dua pihak sedar akan fakta ini. Pemain dan kelab ada hak untuk sambung atau cari kelab lain sebab ianya pasaran terbuka. Malah, ada pemain skuad Jang yang sedang membuat rundingan walaupun latihan pramusim telah bermula,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pemain berusia 37 tahun itu tidak pernah menyemak statusnya sebagai pemain sejak kontraknya tamat tahun lalu.

Zaquan Adha
Sumber Gambar: NSFC

“Zaquan Adha tidak pernah semak statusnya sebagai pemain sejak kontraknya tamat, hanya pertanyaan mengenai tunggakan gaji.

“Selepas tamat kontrak, asalnya dia ada di dalam perancangan pengurusan (maklumat ini tidak dimaklumkan kepada dia), namun setelah pertimbangkan sebab-sebab berikut, pengurusan ambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak.

“Zaquan sudah berumur 37 tahun dan setiap slot pemain kami sangat berharga, memandangkan kekangan kewangan, peluang dan sumbangan sebagai pemain pasti tidak dapat dimaksimumkan.

“Memandangkan dia memiliki rekod lima kali kecederaan koyak ligamen lutut anterior (ACL), pastinya ini satu risiko bagi kewangan kelab dalam jangka panjang.

“Surat tersebut hanya memaklumkan bahawa kontrak Zaquan sebagai pemain tidak disambung, malah semua pemain yang tidak disambung juga terima surat yang sama. Bagaimanapun, kelab terbuka untuk sebarang peranannya menjadi sebahagian daripada coaching staff.

“Namun, tindakannya untuk ke media sangat mendukacitakan. Walhal dia tidak pernah sekalipun mahu menyemak statusnya sebagai pemain kepada pihak kelab.