Zeekr Sunway kini melebarkan sayapnya dengan pembukaan Zeekr Lounge yang serba baharu di X Park Sunway Serene, Petaling Jaya.
Langkah ini memberi peluang kepada pelanggan untuk menerokai kenderaan elektrik (EV) premium keluaran jenama tersebut, di samping menawarkan pengalaman gaya hidup dan kemudahan rekreasi di dalam satu destinasi.
Pengecasan Terpantas di Malaysia dengan Kadar Istimewa

Berkeluasan 1,800 kaki persegi, ruang istirahat eksklusif ini melengkapi fasiliti pengecasan Zeekr Power sedia ada yang tampil dengan sembilan petak pengecasan arus terus (DC).
Ia berkapasiti sehingga 480kW, sekali gus menjadikannya kemudahan pengecasan yang terpantas di Malaysia buat masa ini.
Melalui kolaborasi bersama rakan pengecasan strategik iaitu JomCharge dan DC Handal, pemilik kenderaan Zeekr turut ditawarkan keistimewaan kadar pengecasan yang lebih berpatutan pada harga RM1.20/kWh.
Gabungan Mobiliti Elektrik dan Gaya Hidup

Sambil menunggu kenderaan dicas, pemilik Zeekr boleh berehat di ruang istirahat khas yang menawarkan kemudahan Wi-Fi percuma.
Tarikan utama lokasi ini sudah pastinya terletak pada integrasinya bersama fasiliti X Park Sunway Serene. Pengunjung boleh memaksimumkan masa lapang mereka dengan pelbagai gaya hidup menarik seperti gelanggang pickleball, litar go-kart, dan kawasan medan selera yang pelbagai.
Lebih memudahkan, Zeekr Lounge ini boleh diakses oleh pemilik Zeekr selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu. Pemilik hanya perlu mengimbas kod QR melalui aplikasi Zeekr untuk masuk pada bila-bila masa untuk mereka menikmati kemudahan yang disediakan walaupun di luar waktu operasi biasa.
Memperkasakan Ekosistem EV di Malaysia
Sunway Marketing, yang baru menyambut ulang tahun keduanya, telah memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan Zeekr di pasaran tempatan dengan rekod jualan melebihi 2,900 unit sejak ia diperkenalkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Trading and Manufacturing, Encik Yeoh Yuen Chee menyifatkan pembukaan ini sebagai satu penanda aras penting bagi mengukuhkan kehadiran mereka dalam segmen EV premium. Beliau menjelaskan bahawa gabungan pengalaman Zeekr, kemudahan pengecasan ultra-pantas, dan fasiliti gaya hidup di X Park menyasarkan untuk menawarkan destinasi yang lebih mudah serta menarik buat para pelanggan.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Encik Eddy Lu menegaskan komitmen mereka untuk terus menambah baik pengalaman pemilikan pelanggan melalui nilai dan kemudahan yang lebih hebat.
Menurutnya, penawaran kadar istimewa RM1.20/kWh itu akan menjadikan pengecasan pantas lebih mudah diakses dan mampu milik buat pemilik Zeekr, di samping komitmen untuk terus memperluaskan kemudahan pengecasan pantas di Malaysia.
Bagi anda yang ingin merasai sendiri pengalaman ini, Zeekr Lounge X Park Sunway Serene terletak di Lot No. 1, Jalan SS 8/6, Sungai Way Free Trade Industrial Zone, 47300 Petaling Jaya, Selangor.