Pemain perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia mendapat tonik berguna menjelang aksi penting Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2024 petang ini apabila kesnya bersama Indra Wijaya diselesaikan dengan cara baik.

Sebelum ini, isu melibatkan kedua-dua pihak telah menjadi kes mahkamah selepas Indra dikatakan mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas Zii Jia atas dakwaan pelanggaran kontraknya sebagai jurulatih.

Baca Juga:

Ia berikutan tindakan tindakan Zii Jia melalui LZJ Management Sdn Bhd telah menamatkan kontrak Indra Wijaya sebagai jurulatihnya selepas hanya sembilan bulan mereka bersama.

Namun atas persetujuan bersama, kedua-dua pihak memilih untuk menamatkan kekusutan tersebut di luar mahkamah.

Perkembangan terkini  itu disahkan menerusi satu kenyataan dikeluarkan wakil Indra Wijaya, Tetuan Wan Ahmad Ridzuan & Co yang mengatakan persetujuan bersama telah disepakati menerusi surat menyurat kepada  Tetuan Law Partnership (pihak LZJ Management Sdn Bhd).

“Berhubung dengan tuntutan yang difailkan Indra terhadap LZJ Management Sdn Bhd (Pengurusan LZJ), dengan suka cita kami memaklumkan bahawa mereka bersetuju untuk menyelesaikan di luar Mahkamah secara baik.

“Perpisahan antara LZJ Management dan Indra berlaku semata-mata atas pertimbangan oleh pasukan LZJ mengenai falsafah, kaedah kejurulatihan dan latihan LZJ.”

“Perpisahan antara LZJ Management dan Indra tidak mempunyai kaitan dengan kaedah kejurulatihan dan prestasi Indra di bawah kontrak pekerjaan.”

“Kami berharap tidak akan timbul sebarang spekulasi mahupun andaian berhubung perkara ini dan mereka mengucapkan selamat maju jaya terhadap karier profesional masing-masing.”

Keputusan tersebut nyata memberikan motivasi berguna buat Zii Jia yang akan turun sebagai perseorangan utama negara bertemu Chinese Taipei pada jam 5.00 petang ini.