Zlatan Ibrahimovic telah menyindir Cristiano Ronaldo selepas bintang Portugal itu membuat kenyataan ‘saya kembali’ selepas menjaringkan dua gol pada aksi kedua Piala Dunia 2026 awal pagi tadi.

Legenda Sweden tersebut mempersoalkan mengapa penyerang Al-Nassr itu perlu mengumumkan ‘kepulangannya’ selepas perlawanan menentang Uzbekistan.

Cristiano Ronaldo memastikan kamera benar-benar menangkap jelas ucapannya selepas membantukemenangan 5-0 Portugal ke atas Uzbekistan dalam aksi Kumpulan K Piala Dunia.

Selepas melalui perlawanan pembukaan yang sukar apabila gagal menjaringkan gol dalam keputusan seri 1-1 menentang DR Congo, penyerang berusia 41 tahun itu melaungkan “I am back” terus ke arah lensa kamera selepas membantu negaranya meraih tiga mata pertama.

Zlatan Ibrahimovic Sindir Cristiano Ronaldo

Namun begitu, Zlatan Ibrahimovic yang kini bertugas sebagai pengulas di studio Fox Sports, nyata tidak begitu terkesan dengan aksi tersebut.

Bekas penyerang AC Milan dan Barcelona itu memberikan komen secara sinis dengan menyatakan bahawa perlawanan tersebut sememangnya peluang untuk menjaringkan gol.

“Ia adalah perlawanan untuk menjaringkan gol. Ia adalah perlawanan untuk Portugal menjaringkan banyak gol.”

“Dan mengenai mesejnya, saya rasa dia tidak pernah pergi pun. Saya tidak faham kenapa dia berkata ‘saya kembali’,” ujar Zlatan menurut sumber laporan Goal.

Cristiano Ronaldo membuka jaringan pada minit keenam dengan rembatan kaki kanan hasil hantaran lintang Joao Cancelo, sebelum menambah gol kedua pada minit ke-39 selepas menerima umpanan Bruno Fernandes.

Dua gol tersebut menjadikan Ronaldo pemain tertua kedua menjaringkan gol dalam sejarah Piala Dunia pada usia 41 tahun, hanya di belakang Roger Milla yang melakukannya pada usia 42 tahun pada edisi 1994.

Jaringan itu juga menyaksikan Ronaldo menjadi satu-satunya pemain lelaki yang menjaringkan gol dalam enam edisi berbeza kejohanan tersebut, bermula sejak penampilan pertamanya pada 2006.

 

Sumber