Zlatan Ibrahimovic hanya menyalahkan seorang individu sahaja selepas Belanda tersingkir daripada Piala Dunia akibat kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti kepada Maghribi, pagi tadi.
Maghribi memastikan tempat mereka ke pusingan 16 terakhir selepas menewaskan pasukan kendalian Ronald Koeman menerusi penalti 3-2 selepas perlawanan 120 minit berakhir 1-1.
Cody Gakpo yang penuh emosi meletakkan skuad The Oranje di hadapan pada minit ke-72, namun selepas kesilapan pertahanan, Issa Diop menanduk masuk gol pada minit ke-91 untuk memaksa perlawanan Isnin di Mexico itu dilanjutkan ke masa tambahan.
Selepas itu permainan menjadi berat sebelah. Malah, Belanda hanya mencatatkan 35 peratus penguasaan bola selepas mereka mengamalkan benteng pertahanan rendah untuk sebahagian besar perlawanan.
Zlatan Salahkan Koeman
Keadaan itu jelas membuatkan Zlatan berang selepas melihat aksi yang ditampilkan anak-anak buah Ronald Koeman.
“Perlawanan ini adalah kesilapan Koeman, kerana saya tidak mengenali pasukan Belanda ini. Dia tewas dengan identiti yang bukan identiti Belanda. Itu membuatkan saya marah,” ujar Zlatan menurut sumber laporan Sport Bible.
“Saya sentiasa diajar menyerang, menyerang, menyerang. Ini bukan identiti Belanda. Hari ini, Koeman kelihatan seperti jurulatih Itali yang bermain untuk tidak kalah, sedangkan Belanda sentiasa bermain untuk menang.”
“Jika anda kalah, sekurang-kurangnya kalah dengan identiti sendiri dan jangan ubahnya. Ini bukan Belanda yang biasa saya lihat. Anda juga boleh lihat melalui cara mereka bermain bahawa mereka tidak selesa.”
“Penguasaan bola hilang, bola sepak menyerang hilang. Ia kelihatan sangat buruk dan itu semua adalah kesalahan Koeman.”
“Saya rasa ia langsung tidak ada apa-apa, benar-benar tidak ada apa-apa,” tambah Zlatan lagi.