Pada jam 1.00 pagi sehingga 11.00 pagi waktu Malaysia (bersamaan jam 6.00 petang sehingga 4.00 pagi waktu Greece), kapal Global Sumud Flotilla (GSF 2.0) telah dihampiri secara agresif oleh kapal tentera rejim Zionis Israel (IOF) ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece.

Semasa insiden intimidasi tersebut berlaku, flotilla berada pada kedudukan kira-kira 656 batu nautika dari Pantai Gaza, petik kenyataan rasmi Sumud Nusantara Official.

Kawasan ini merupakan zon pelayaran antarabangsa yang sah dan dijamin sepenuhnya di bawah undang-undang maritim antarabangsa UNCLOS.

Pihak IOF telah memulakan provokasi dengan melepaskan tembakan amaran (warning shots) ke arah kapal delegasi serta melakukan gangguan frekuensi radio secara mengancam terhadap aktivis kemanusiaan yang tidak bersenjata.

Rakaman audio dan visual yang diperoleh oleh SNCC telah membuktikan bahawa pihak IOF menggunakan naratif palsu bagi menjustifikasikan serangan amaran tersebut, sedangkan saki-baki kapal flotilla kekal berlayar di dalam koridor perairan antarabangsa tanpa melanggar sebarang protokol maritim.

Status Keselamatan

Pihak SNCC mengesahkan bahawa sebanyak dua puluh dua (22) buah kapal flotilla yang dinaiki oleh 186 orang telah dipintas, terputus hubungan, dan diceroboh secara langsung.

Kapal-kapal tersebut termasuklah Saf Saf, Arkham III, Bella Blue, Romantica, Goleta, Eros 1, Esplai, Mystere, Magic Boat, Ghea, Snap, Eros, Tam Tam, Nagual, Lapinya, Bianca BCN, Freia, Batolo, Bribon, Marea, Malia, dan Holy Blue.

Daripada jumlah tersebut, enam (6) buah kapal yang ditahan melibatkan pencerobohan ke atas 10 rakyat Malaysia, iaitu:

Arkham III: Zainal Rashid Bin Ahmad (ZRA)

Eros 1: Osman Bin Zolkifli dan Dr. Jihan Alya Binti Mohd Nordin

Esplai: Mohd Shamsir Bin Mohd Isa

Bianca BCN: Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Bin Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Bin Kamaruzaman, dan Norhelmi Bin Ab Ghani

Freia: Mohd Redzal Bin Amzah

Marea: Muhamad Muhsin Bin Zaidi

Selain itu, terdapat puluhan dron yang tidak dikenal pasti dikesan beroperasi di sekitar kawasan flotilla bagi tujuan pemantauan dan gangguan komunikasi

Komitmen Misi dan Tindakan Lanjut

Bagi memohon perlindungan serta keselamatan delegasi misi yang ditahan dan terputus hubungan, SNCC menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersatu hati untuk segera melaksanakan solat hajat berserta doa Qunut Nazilah.

Orang awam boleh melakukan penjejakan langsung (live tracking) pergerakan semasa flotilla GSF 2.0 menerusi laman sesawang sntracker.sumudnusantara.com.

SNCC juga menegaskan agar semua pihak merujuk pusat pengurusan ini sebagai satu-satunya sumber maklumat yang sahih bagi mengelakkan penyebaran propaganda salah yang sengaja dicetuskan oleh pihak lawan.

Laporan ini disahkan oleh Dato’ Sani Araby Bin Dato’ Abdul Alim Araby, selaku Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) pada 30 April 2026.

Pihak SNCC boleh dihubungi melalui talian hotline 012-800-2016 atau e-mel di [email protected].