Tular satu hantaran daripada seorang pengguna media sosial yang memuat naik sebuah emel daripada jenama kopi tempatan Zus Coffee yang membuat kenyataan maaf mengenai kenaikan harga kopi yang bakal dihadapi pihak jenama.

Ciapan daripada pengguna @mohdnazif itu mendapat perhatian meluas daripada netizen Malaysia, dengan kebanyakan mereka memuji cara Zus Coffee menghargai pelanggan mereka.

Taobao
HYPE
Raya Extra Meriah! 5 Dekorasi DIY Dari Taobao Wajib Ada Untuk Rumah Anda!
Baca lagi →

Kenapa Zus Coffee Naik Harga?

Dalam emel tersebut, Zus Coffee membuat permohonan maaf kerana terpaksa menaikkan harga minuman kopi dan coklat.

Mereka mendakwa disebabkan faktor luar, pihak syarikat tidak mempunyai jalan lain untuk lari daripada beban tersebut dan terpaksa menaikkan harga sehingga RM0.30 sen.

Zus Coffee
Sumber: @MohdNazif

“Hai Zussies, ini adalah perkara yang paling sukar terpaksa kami lakukan dalam 5 tahun ini.

“Kos biji kopi telah melonjak ke paras tertinggi sejak 1977 disebabkan gangguan bekalan global dan cabaran iklim yang menjejaskan pengeluaran.

“Sepanjang tahun 2024, kami telah menanggung kos tersebut, namun semakin sukar.

“Untuk penggemar coklat, harga koko juga telah meningkat dengan ketara. Kami perlu membuat penyesuaian yang sewajarnya mengikut situasi semasa.

Zus Coffee
Sumber: @MohdNazif

“Bermula 3 Februari 2025, kebanyakan minuman kami terpaksa dinaikkan harga sebanyak 30 sen untuk memastikan kualiti yang terbaik untuk anda tetapi Espresso, Americano, CEO Latté, Coconut Latté and CEO Coconut Latté akan kekal pada harga yang sama.

“Kami berterima kasih atas sokongan anda selama 5 tahun ini dan memohon maaf atas sebarang kesulitan. Kami akan berusaha memberikan anda produk berkualiti yang merupakan Keperluan, bukan Kemewahan,” kata Zus Coffee dalam kenyataan yang dimuat naik melalui emel khidmat pelanggan.

Komen Rawak Dan Skeptikal

Walaupun sebahagian netizen memuji cara Zus Coffee menghargai pelanggan mereka, namun ada juga sebahagian netizen yang memberi reaksi rawak serta mempersoal kenapa pihak Zus Coffee perlu kecoh dengan kenaikan sebanyak RM0.30 sen.

Komen-komen berbunyi seperti, “kecoh betul, naik 30 sen je. Tak nak beli, sudah,” atau “takpe, masih mampu untuk beli,” berkumandang di bahagian komen ciapan tersebut.

Zus Coffee
Sumber: Zus Coffee

Bagi mereka, kenaikan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan, malah ada yang menegaskan bahawa kenaikan harga adalah perkara biasa dalam ekonomi sekarang.

Bagaimanapun, ada pula netizen yang menyerang Zus Coffee dengan mendakwa bahawa penjelasan pihak jenama yang mengaitkan dengan faktor trend kopi sejak tahun 1977 adalah tidak masuk akal kerana Zus bukan wujud sejak 1970 lagi.

Kumpulan ini skeptikal terhadap alasan kenaikan harga yang diberikan Zus sehingga ada yang menyindir bahawa ini hanyalah strategi pemasaran untuk menampung kos pengembangan syarikat dan bukannya semata-mata kenaikan kos bahan mentah.

Zus Coffee
Sumber: Zus Coffee

Dengan kenaikan ini, muncul juga suara-suara yang mempertimbangkan untuk beralih ke pilihan lebih murah seperti kopi dari 7-Eleven atau kafe tempatan lain.

Namun, realitinya, jika kita melihat trend sebelum ini—seperti kenaikan harga Starbucks atau Tealive—pelanggan setia biasanya tetap akan membeli jenama kegemaran mereka walaupun harga meningkat.

Zus Coffee sendiri menyebut bahawa mereka ingin memastikan produk mereka kekal sebagai “keperluan, bukan kemewahan”—tetapi adakah pengguna akan melihat kopi sebagai keperluan?