ZUS Coffee dilaporkan sedang mempertimbangkan tawaran awam permulaan (IPO) bagi perniagaannya di Malaysia untuk mengumpul sekurang-kurangnya RM1 bilion (AS$245 juta).
Perkara itu dimaklumkan oleh sumber yang mempunyai maklumat berhubung perkara tersebut, petik The Edge Malaysia.
Pemiliknya, Zuspresso Sdn Bhd, kini bekerjasama dengan penasihat kewangan bagi potensi penyenaraian IPO berkenaan yang dijangka menilai syarikat itu pada anggaran RM4 bilion.
Menurut sumber, tawaran saham tersebut berkemungkinan dilaksanakan di Bursa Malaysia seawal pertengahan tahun 2027.
Perbincangan masih berjalan dan perincian seperti tempoh masa serta saiz IPO berkenaan mungkin berubah, tambah sumber tersebut.
Pihak Zuspresso tidak memberi sebarang maklum balas berhubung permintaan untuk mengulas perkara ini.
ZUS membuka cawangan pertamanya pada tahun 2019 dan telah mengatasi Starbucks Corp sebagai rangkaian kedai kopi terbesar di Malaysia pada tahun 2024.
Syarikat tersebut terus memperluas perniagaannya sehingga mencapai 1,000 cawangan pada bulan Oktober, termasuk cawangan di luar negara seperti Thailand, Filipina dan Singapura.