Liga Bola Sepak Amatur (AFL) mengumumkan seramai 12 pemain telah dipilih menjalani latihan bersama pasukan yang kini beraksi di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL), Wolverhampton Wanderes FC (Wolves).
Kesemua 12 pemain ini akan diterbangkan ke England awal tahun depan untuk menjalani latihan selama seminggu di Compton Park Training Ground, England bersama pasukan Wolves FC dibawah program “Dare to Dream” yang dijayakan MBSB Bank selaku Penaja Rasmi Pertandingan MBSB Bank Championship 2023.
Baca Juga:
- Peminat Kesal Liga Amatur Negara Dicemari Pergaduhan
- sooka Tawarkan Penstriman Liga Malaysia 2023 Pada Harga Serendah RM4.90 Sahaja
- Struktur Liga Bola Sepak Jepun Yang Tidak Ramai Rakyat Malaysia Tahu
12 pemain itu antara lain melibatkan dua pemain pasukan UiTM United yang muncul juara Piala Al Ikhsan 2023 setelah dipilih secara merit pada sesi pemilihan anjuran MBSB Bank dan badan induk bola sepak itu minggu lepas.
Program ‘Dare to Dream’ merupakan kesinambungan kepada saingan Liga M3 yang kini dikenali sebagai Liga Kejuaraan MBSB Bank, dan kumpulan pemain berkenaan dijangka berlepas ke England sama ada pada penghujung Januari atau awal Februari depan.
Sesi pemilihan dikendalikan Pengurus Projek Antarabangsa Wolves, Joe Hunt, jurulatih bola sepak dan pendidikan Ryan Griffiths serta jurulatih pembangunan bola sepak pasukan itu Cody Harper.
“Pada sesi pemilihan berkenaan, pemain dikehendaki melepasi enam ujian (halangan) ditetapkan meliputi segala aspek bola sepak termasuk kepantasan, ketangkasan, kemahiran teknik serta simulasi perlawanan sebenar,” menurut kenyataan AFL.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi AFL Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad berharap 12 pemain dipilih dapat memanfaatkan peluang diberi selain menjadikan nilai tambah dałam perjalanan karier masing-masing sebagai pemain bola sepak.
“Inilah usaha ingin ditonjolkan dalam mengetengahkan bakat-bakat muda dan terpendam dalam lingkaran atau rantaian bola sepak tempatan dan tidak keterlaluan jika saya katakan pada masa akan datang pemain yang dipilih ini akan menggalas cabaran pasukan-pasukan kelab mahupun kebangsaan,” katanya.
Berikut adalah senarai pemain yang akan menjalani latihan bersama Wolves.
1.Muhammad Ikmal Mohd Idris (KL Rovers) Penyerang
2.Muhamad Rafie Mat Yaacob (KL Rovers) Penyerang
3.Muhamad Rafie Kamaruzzaman (Imigresen FC) Pertahanan
4.Muhammad Hazim Abu Zaid (Imigresen FC) Pemain Tengah
5.Izzat Abd Rahim (PIB Shah Alam FC) Penjaga Gol
6.Shahrul Igwan Samsudin (PIB Shah Alam FC) Pertahanan
7.Muhamad Aizat Safuan Razali (Manjung City FC) Pemain Tengah
8.Wan Muhammad Izzat Wan Zaidi (Manjung City FC) Pertahanan
9.Muhammad Darwisy Abdullah (Malaysian University) Pemain Tengah
10.Muhammad Fathullah Fazilisham (Naga Ultimate KS FC) Pemain Tengah
11.Pengiran Mohamad Ilham (UiTM United) Pertahanan
12.Zikry Mohd Hafis (UiTM United) Pemain Tengah