Berbaki beberapa bulan sahaja lagi sebelum pelancaran siri iPhone 15. Jadi, timbul pelbagai spekulasi berkenaan siri kali ini yang dilihat jauh lebih canggih dengan pelbagai naik taraf menerusinya.

9to5Mac didapati mempunyai maklumat eksklusif tentang peranti flagship iPhone termasuklah lakaran CAD yang berjaya mempamerkan gambaran rupa iPhone 15 Pro. Ini adalah enam perkara yang anda perlu tahu tentang siri iPhone 15 kali ini.

1. Badan berbingkai titanium

Iphone 15
Sumber Gambar: 9to5Mac

Badan siri iPhone 14 Pro sekarang diperbuat daripada keluli nirkarat. Untuk siri iPhone 15 Pro pula, dikatakan yang Apple bakal mengguna pakai materi titanium untuk menghasilkan badan telefon yang bakal dilancarkan ini.

Anda boleh jangkakan iPhone yang lebih ringan kelak kerana ketumpatan Titanium adalah 40% lebih rendah berbanding keluli nirkarat. Selain ringan, anda juga boleh menjangkakan ketahanan yang lebih baik dan juga tahan calar.

2. Semua model iPhone 15 guna USB-C

Iphone 15
Sumber Gambar: 9to5Mac

Seperti yang dinantikan oleh ramai pengguna, USB-C akan diperluaskan ke iPhone kali ini bagi memenuhi piawaian pasaran Eropah. Dengan ini, ia sekaligus dapat memberikan kadar pengecasan yang lebih pantas di samping kebolehan memindahkan data bersaiz besar dalam masa singkat.

Walau bagaimanapun, jangkakan terdapat beberapa pengehad dikenakan kepada aksesori-aksesori USB-C yang bakal anda gunakan pada iPhone 15 kerana pastinya fungsi penuh port ini hanya boleh dinikmati produk berstatus MFI.

3. Camera bump yang lebih besar dan tebal

Iphone 15
Sumber Gambar: 9to5Mac

Bahagian kamera juga bakal menyaksikan perubahan besar. Secara keseluruhannya, bonjolan kamera akan lebih tebal untuk menempatkan naik taraf yang lebih besar pada komponen kamera.

Contohnya, iPhone 15 Pro dikatakan perlukan jarak lensa daripada sensor yang lebih jauh dek penggunaan sensor jenis baharu, makanya bonjolan kamera mungkin 2 kali ganda lebih tebal berbanding iPhone 14 Pro. iPhone 15 Pro Max pula katanya akan ada kamera telefoto jenis periskop.

4. Perubahan pada butang mute dan haptic volume

Sumber Gambar: 9to5Mac

Tiada lagi butang dan suis fizikal. iPhone 15 Pro bakal memperkenalkan butang peka sentuhan dengan suap balas haptik. Ia seperti butang Touch ID pada iPhone 8 dulu.

Difahamkan konsep ini diambil daripada trackpad menerusi Mac yang mana secara fizikalnya tidak bergerak tetapi hanya memberikan rasa seperti ditekan dengan sedikit gegaran. Perubahan ini juga bakal membuka peluang kepada lebih banyak fungsi tambahan pada butang tersedia.

5. Bingkai paparan lebih nipis

Iphone 15
Sumber Gambar: 9to5Mac

Bingkai panel paparan akan terus menipis. Untuk iPhone 15 Pro, dilaporkan bingkai itu cuma 1.55mm berbanding 1.95mm pada iPhone 14 Pro. Anda bakal melihat perubahan pada bingkai paparan 20.5 lebih nipis.

Menerusi perubahan ini, iPhone 15 akan reka bentuk skrin yang melengkung pada bahagian sisi sekaligus lebih sedap untuk dipegang. Penampilan iPhone 15 akan tampak lebih kemas dan premium secara keseluruhannya.

6. Pilihan warna baharu

Sumber Gambar: 9to5Mac

Seperti biasa, jangkakan warna baharu diperkenalkan. Menurut laporan, kod warna baharu yang akan diguna pakai adalah 410D0D. Sementara warna yang kekal ditawarkan termasuklah White, Space Black dan Gold.

Setakat ini, adakah anda berpuas hati dengan penambah baikan yang mungkin ditawarkan menerusi siri iPhone 15? Sama-sama kita nantikan pengenalan siri iPhone 15 yang dijangka bakal akan lancar secara rasmi pada bulan 12 September kelak.

Sumber