Kalau anda jenis suka makan gula berlebihan atau benda manis selepas makan malam (atau selepas makan tengah hari pun boleh, kita tak nak judge!), anda sebenarnya tidak keseorangan.

Tak kiralah coklat, aiskrim, biskut atau kuih-muih, makanan manis memang susah nak ditolak, lebih-lebih lagi kalau dijadikan pencuci mulut selepas makan. Sekali-sekala nak layan makanan manis? Tak ada masalah.

Namun, tahukah anda bahawa rakyat dewasa Malaysia mengambil purata 26 sudu teh gula sehari dimana ia jauh melebihi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu sekitar enam sudu teh sehari?

Malah, berdasarkan data World Population Review yang dikeluarkan Utusan pada 2024, Malaysia menduduki tempat ke-14 dunia dalam pengambilan gula, dengan purata 41.63 kilogram bagi setiap penduduk setahun, bersamaan kira-kira 8,326 sudu teh gula.

Jadi, kalau kita bukan jenis yang makan pencuci mulut setiap hari, persoalannya, dari mana datangnya semua gula yang kita ambil setiap hari?

Anda mungkin mengambil lebih banyak gula daripada yang anda sangka. Tanpa sedar, gula berlebihan boleh masuk ke dalam badan melalui makanan dan minuman yang kita ambil setiap hari.

Contohnya, satu sudu besar sos yang dimakan bersama kentang goreng mengandungi kira-kira tiga gram gula. Setengah cawan yogurt berperisa tanpa lemak pula mengandungi sekitar 12 gram gula. Kalau kita minum satu tin Coca-Cola pada waktu petang, jumlah gula yang diambil boleh mencecah 39 gram.

Jadi, apa kesan gula tersembunyi ini terhadap tubuh kita?

Pengambilan gula secara berlebihan boleh mengganggu metabolisme, meningkatkan penyimpanan lemak, mencetuskan keradangan dan menjejaskan tahap tenaga badan.

Berikut ialah tujuh kesan gula berlebihan terhadap tubuh yang mungkin mengejutkan anda, daripada peningkatan tenaga dalam masa singkat hinggalah risiko kesihatan dalam jangka panjang.

7 Kesan Pengambilan Gula Berlebihan

1. Menyebabkan Rintangan Insulin

Apabila anda kerap mengambil makanan dan minuman yang mengandungi gula tambahan, terutamanya minuman manis, paras gula dalam darah boleh meningkat dengan cepat.

Keadaan ini menyebabkan badan menghasilkan lebih banyak insulin untuk membantu mengawal paras gula dalam darah.

Jika berlarutan, badan boleh mengalami rintangan insulin, iaitu keadaan apabila sel-sel badan tidak lagi bertindak balas dengan baik terhadap insulin. Akibatnya, badan semakin sukar mengawal paras gula dalam darah.

Rintangan insulin juga merupakan salah satu faktor penting yang dikaitkan dengan risiko diabetes jenis 2.

2. Meningkatkan Risiko Penyakit Hati Berlemak (Fatty Liver)

Badan kita memproses fruktosa, iaitu sejenis gula yang terdapat dalam gula pasir dan sirap jagung tinggi fruktosa, melalui hati. Jika diambil secara berlebihan, fruktosa boleh menyebabkan lemak terkumpul dalam sel hati, sekali gus meningkatkan risiko penyakit hati berlemak bukan alkohol (NAFLD).

Jika keadaan ini berlarutan, ia boleh menyumbang kepada beberapa masalah kesihatan hati, antaranya:

– Keradangan hati yang boleh menjejaskan fungsi organ tersebut.
– Pembentukan tisu parut akibat kerosakan hati yang berulang.
– Kerosakan hati jangka panjang jika penyakit terus berkembang.

3. Mendorong Pertambahan Berat Badan

Kesan ini mungkin tak mengejutkan, tetapi sebab di sebaliknya mungkin ramai yang tak sedar.

Makanan manis seperti biskut, gula-gula dan yogurt berperisa biasanya mengandungi kalori yang tinggi, tetapi tidak semestinya membuatkan anda berasa kenyang untuk tempoh yang lama.

Akibatnya, anda mungkin lebih cepat berasa lapar dan cenderung makan lebih banyak.

Jika berterusan, tabiat ini boleh menyebabkan pengambilan kalori berlebihan sekali gus menyumbang kepada pertambahan berat badan yang tidak diingini.

4. Meningkatkan Risiko Sindrom Metabolik

Menurut Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat (NIH), sindrom metabolik merujuk kepada gabungan beberapa masalah kesihatan yang boleh meningkatkan risiko penyakit jantung, diabetes dan strok.

Pengambilan gula secara berlebihan berkait rapat dengan beberapa faktor risiko utama sindrom metabolik, antaranya:

– Peningkatan trigliserida, iaitu sejenis lemak dalam darah.
– Penurunan kolesterol HDL, yang dikenali sebagai kolesterol baik.
– Tekanan darah tinggi, yang boleh meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok.
– Pertambahan lemak di bahagian perut, khususnya lemak yang terkumpul di sekitar organ dalaman.

Apabila beberapa keadaan ini berlaku serentak, risiko seseorang mengalami masalah kesihatan kronik boleh meningkat. Sebab itulah penting untuk mengawal pengambilan gula dalam pemakanan harian.

5. Meningkatkan Risiko Penyakit Jantung

Pengambilan gula berlebihan boleh meningkatkan beberapa faktor risiko penyakit jantung, termasuk tekanan darah tinggi, keradangan kronik dan paras lemak dalam darah yang tidak sihat.

Menurut satu kajian yang dipetik oleh Harvard Health Publishing seperti dilaporkan Medical Science Online, individu yang memperoleh 17 hingga 21 peratus daripada jumlah kalori harian melalui gula tambahan mempunyai risiko kematian akibat penyakit jantung 38 peratus lebih tinggi berbanding mereka yang mengambil kurang daripada lapan peratus kalori harian daripada gula tambahan.

Dapatan ini menunjukkan bahawa pengambilan gula secara berlebihan bukan sekadar berkaitan dengan pertambahan berat badan, malah boleh memberi kesan kepada kesihatan jantung dalam jangka panjang.

6. Merosakkan Gigi

Kalau anda pernah mengalami masalah gigi berlubang semasa kecil, anda tentu tahu gula berlebihan bukanlah kawan baik gigi.

Bakteria dalam mulut menggunakan gula sebagai sumber makanan dan menghasilkan asid. Jika anda kerap mengambil makanan atau minuman bergula, asid ini boleh menghakis lapisan enamel yang melindungi gigi, sekali gus meningkatkan risiko gigi berlubang.

Gula-gula yang melekit dan minuman manis lebih membimbangkan kerana boleh menyebabkan gigi terdedah kepada gula untuk tempoh yang lebih lama.

7. Menyebabkan Paras Gula Dalam Darah Turun Mendadak

Pernah dengar istilah sugar crash? Ia merujuk kepada keadaan apabila paras gula dalam darah menurun selepas meningkat dengan cepat, misalnya selepas mengambil makanan atau minuman yang tinggi gula.

Dalam sesetengah keadaan, paras gula dalam darah boleh menurun dalam tempoh dua hingga empat jam selepas makan. Keadaan ini dikenali sebagai hipoglisemia reaktif, iaitu penurunan paras gula dalam darah yang berlaku selepas makan.

Antara gejala yang boleh dialami termasuk:
– Pening kepala
– Menggigil atau tangan menggeletar
– Berpeluh secara tiba-tiba
– Rasa lapar yang datang secara mendadak

Bagaimanapun, penurunan paras gula selepas makan tidak semestinya berlaku kepada semua orang. Jika gejala ini kerap berlaku, pemeriksaan doktor diperlukan untuk mengenal pasti puncanya.