Selangor FC akan meneruskan usaha untuk menegakkan keadilan di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (ALAC) susulan rayuan yang ditolak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

FAM semalam telah menolak rayuan Selangor FC berhubung dua hukuman yang dikenakan melibatkan orang kenamaan (VVIP) dan penyokong kelab tersebut ketika aksi suku akhir kedua Piala FA 2025/26 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Susulan dengan penolakan rayuan tersebut, Selangor mengesahkan untuk memanjangkan lagi perkara ini dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan sebentar tadi.

“Untuk makluman semua pemegang taruh Selangor FC, pihak kelab telah mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengandungi penjelasan serta bukti-bukti bagi menolak dakwaan insiden-insiden melibatkan penyokong Selangor FC di Stadium MBPJ semasa perlawanan Selangor FC menentang Negeri Sembilan FC pada 29 Oktober 2025 tempoh hari.”

“Namun, pada 25 November 2025, rayuan tersebut telah ditolak dan keputusan hukuman denda RM100,000.00 terhadap Selangor FC berserta dua perlawanan Piala FA tanpa penonton di gelanggang sendiri dikekalkan.”

“Hukuman ini melibatkan perlawanan Separuh Akhir Kedua Piala FA, Selangor menentang Sabah pada 30 November 2025 dan perlawanan pertama Selangor di gelanggang sendiri bagi pertandingan Piala FA musim hadapan.”

“Oleh itu, Selangor FC akan memfailkan rayuan kepada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (ALAC) di Kuala Lumpur, selaras dengan Artikel 77 dan Artikel 129 Kod Tatatertib FAM (Kod FAM). Artikel 77 dalam Kod FAM hanya mengiktiraf ALAC sebagai mahkamah timbang tara bebas yang sah dan bukan mahkamah timbang tara lain seperti Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).”

“Selangor FC kekal komited dan mengambil pendekatan berprinsip dalam menangani perkara ini demi kebaikan kelab dan semua pemegang taruh bola sepak Selangor.”

Sumber