Malaysia berjaya meraih tempat ketiga Kejuaraan Futsal B-19 ASEAN 2025 selepas menewaskan Vietnam 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi tempat ke-3/4 yang berlangsung di Stadium Nonthaburi sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 selepas tamat 40 minit masa sebenar, sebelum skuad muda negara menunjukkan ketenangan serta percaturan bijak Rakphol Sainetngam ketika penentuan sepakan penalti untuk memastikan kemenangan memihak kepada Malaysia.

Kejayaan ini sekali gus menutup kempen kejohanan dengan nota positif buat pasukan kendalian jurulatih negara yang menampilkan semangat juang tinggi sepanjang saingan berlangsung.

Skuad negara bagaimanapun tersentak seawal minit kelima permainan hasil jaringan Nguyen Truong Hoang Long untuk membuka tirai jaringan.

Detik Mendebarkan Saat Akhir Jadi Milik Malaysia

Aksi selepas itu menyaksikan kedua-dua pasukanĀ  berusaha keras untuk menambah jaringan dan Malaysia mendapatkan jaringan penyamaan hanya pada minit ke-39.

Gol tersebut dihasilkan Iqbal Hazim Radzi menerusi serangan balas pantas susulan taktikal ‘Power Play’ yang dimainkan Rakphol.

Kegembiraan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Nguyen Thac Hieu meledakkan rembatan jarak jauh ketika aksi hanya berbaki 16 saat untuk ditamatkan.

Mental yang cukup kuat dipamerkan barisan pemain negara apabila beberapa saat kemudian, Muhammad Aidil Zakwan Zaidi menyamakan kembali kedudukan, juga menerusi Power Play.

Jaringan yang menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Bermula dengan sepakan pertama Nguyen Minh Long yang terkena palang, Iqbal Hazim turut kecewa selepas sepakannya diselamatkan penjaga gol Vietnam.

Penjaga gol, Ammar Harith yang tidak beraksi sepanjang 40 minit aksi telah diberikan tanggungawab untuk mengambil sepakan kelima.

Sebaik sahaja menyelesaikan tugasan tersebut, Ammar bertindak cemerlang dalam menafikan sepakan Thac Hieu dan akhirnya Aidil Fazrez Zul Hatta memastikan tempat ketiga menjadi milik Malaysia dengan sepakan yang menewaskan Vhan Kanh.

Kejayaan meraih tempat ketiga ini menjadi indikasi jelas buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bahawa futsal perlu diberikan perhatian lebih khusus.

Skuad senior negara berjaya layak ke Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta dan membawa pulang pingat gangsa dalam Sukan SEA 2025, kini giliran skuad bawah 19 tahun pula membuktikan kemampuan dan potensi besar dalam diri mereka.