Dalam landskap pembangunan futsal akar umbi yang sering dipandang ringan, Akademi Perintis (Perintis Academy) tampil dengan satu inisiatif yang wajar diberi pujian tinggi.

Hal ini kerana akademi yang berpangkalan di Apartment Seroja Taman Putra Perdana, Puchong itu menganjurkan kejohanan futsal peringkat Bawah 10 dan Bawah 12 tahun dengan penerapan undang-undang rasmi FIFA Futsal.

Baca Juga:

Bukan sekadar pertandingan biasa, kejohanan ini membawa pendekatan profesional sejak usia muda apabila turut menguatkuasakan peraturan enam foul serta peraturan backpass melibatkan goleiro (penjaga gol).

Ia merupakan satu langkah proaktif yang mungkin agak jarang dilihat dalam kejohanan peringkat kanak-kanak di negara ini sebagai pendedahan awal buat mereka dalam mengetahui peraturan sebenar dalam futsal.

Akademi Perintis: Model Akar Umbi Yang Wajar Dicontohi Dalam Pembangunan Futsal

Malah, barisan pengadil dalam pertandingan ini bukan sahaja bertugas mengawal permainan tetapi juga memberi penerangan dan ilmu dengan jelas tentang peraturan sebenar futsal mengikut situasi di gelanggang.

Kaedah ini membolehkan pemain muda belajar menghormati pengadil, menjaga semangat kesukanan serta membentuk disiplin dan sikap profesional sejak usia awal.

Lebih menarik, semua perlawanan berlangsung selama 15 minit x 15 minit di gelanggang yang memenuhi piawaian FIFA Futsal Community Courts.

Hasil perbincangan ‘situasi menang-menang’ dengan badan pengurusan bersama (JMB) apartment tersebut, pemilik Akademi Perintis, Muhammad Khalis Bin Othman mengeluarkan dana beliau sendiri hampir RM80,000 dalam menyediakan fasiliti asas bagi membolehkan Akademi Perintis menjalani sesi latihan secara tetap di sana serta dapat mengadakan pertandingan.

Ini secara tidak langsung membuktikan komitmen serius Akademi Perintis dalam menyediakan ekosistem terbaik untuk pembangunan bakat muda.

Liga Satu Pusingan, Minit Permainan Maksimum

Kejohanan ini melibatkan lapan pasukan bagi setiap kategori umur dengan format liga satu pusingan yang memberi ruang kepada setiap pasukan untuk bermain secara konsisten dan kompetitif.

Lebih menarik, ia turut menarik penyertaan pasukan dari Nilai (Negeri Sembilan) dan Tumpat (Kelantan).

Selepas enam minggu saingan peringkat kumpulan, kejohanan ini kemudiannya ditutup dengan Grand Finale yang cukup unik apabila semua pasukan layak beraksi dalam perlawanan akhir berperingkat mengikut kedudukan dalam liga iaitu Contender Cup, Challenge Cup, Winner Cup dan Champion Cup.

Akademi Perintis: Model Akar Umbi Yang Wajar Dicontohi Dalam Pembangunan Futsal

Pendekatan ini memastikan setiap pasukan, tanpa mengira tahap kemampuan tetap berpeluang merebut kejuaraan dan menerima pengiktirafan.

Ia juga memberi mesej jelas bahawa pembangunan bukan hanya tertumpu kepada pasukan terkuat semata-mata, sebaliknya kepada proses, pengalaman dan minit permainan.

Bukan Sekadar Pembangunan

Lebih daripada sekadar kejohanan sukan, inisiatif ini turut memberi nilai tambah kepada pemain apabila penglibatan mereka membolehkan murid sekolah memperoleh mata dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Ini kerana Akademi Perintis berdaftar di bawah Kementerian Belia dan Sukan, sekali gus menjadikan penyertaan dalam kejohanan ini relevan bukan sahaja dari sudut sukan, malah dari aspek akademik dan pembangunan sahsiah pelajar.

Model Akar Umbi Yang Patut Dicontohi

Apa yang dilakukan oleh Akademi Perintis ini membuktikan bahawa pembangunan futsal akar umbi tidak perlu bersifat ala kadar.

Dengan perancangan rapi, pematuhan standard antarabangsa dan pemikiran jangka panjang, kejohanan seperti ini mampu menjadi platform sebenar melahirkan pemain futsal berkualiti.

Di peringkat dalaman bagi Akademi Perintis itu sendiri, barisan kejurulatihan turut menitikberatkan keupayaan kognitif dalam kalangan pemain.

Akademi Perintis: Model Akar Umbi Yang Wajar Dicontohi Dalam Pembangunan Futsal

Di samping itu, pemain-pemain muda ini turut didedahkan dengan aspek sains sukan seperti diberikan pisang serta susu selepas tamat sesi latihan.

Pengambilan pisang serta susu sangat penting bagi membantu pemulihan tenaga dan menyokong perkembangan fizikal mereka secara optimum.

Dalam jangka panjang, inisiatif sebegini bukan sahaja menguntungkan pemain, malah menyumbang kepada ekosistem futsal negara secara keseluruhan.

Pendek kata, ini bukan sekadar kejohanan. Ini adalah pelaburan terhadap masa depan futsal Malaysia.