Teka-teki mengenai kelab badminton dari India yang berjaya menambat hati Datuk Misbun Sidek sudah pun terjawab.
Hal ini kerana legenda berusia 65 tahun itu telah memilih Hatsun Badminton Centre yang berpangkalan di Thiruthangal, Tamil Nadu sebagai destinasi baharu buat karier kejurulatihannya.
Baca Juga:
- Misi Datuk Misbun Sidek: Saya Mencari ‘World Number 1’ Keempat

- Lee Chong Wei: Misbun Sidek Bakal Bawa Impak Besar Di India

- Kepakaran Datuk Misbun Sidek Ditagih Kelab India

Menurut sumber laporan The Star, Misbun sudah berada di India dan meninjau fasiliti latihan, bertemu pengurusan serta barisan kejurulatihan dan memahami ekosistem pembangunan badminton di pusat tersebut.
Beliau dikatakan berada di India secara bergilir setiap bulan di bawah perjanjian jangka pendek.

Kenali Hatsun Badminton Centre
Tinjauan di laman sesawang rasmi kelab, Hatsun Badminton Centre bukan sekadar akademi biasa, sebaliknya sebuah pusat latihan moden yang menempatkan ramai pemain muda berbakat besar di sana.
Pusat latihan tersebut dilengkapi dengan lapan gelanggang badminton, penginapan asrama, kemudahan dapur buat chef bertauliah, gimnasium, trek olahraga (200 meter) dan padang.
Malah, turut disediakan juga kolam renang, bilik sauna wap (berasingan untuk lelaki dan perempuan), serta kemudahan mandi ais bagi menyokong pemulihan aktif dan rawatan terapi air untuk proses rehabilitasi kecederaan.
Sebagai sokongan kepada latihan dan pembangunan akademik pemain, pusat ini turut menyediakan bilik komputer khusus untuk analisis perlawanan dan pembelajaran dalam talian.

Selain itu, terdapat juga kemudahan sokongan profesional termasuk bilik fisioterapi yang lengkap dengan peralatan diperlukan, bilik audio-visual, bilik konferens berteknologi tinggi, serta bilik belajar dan bilik rekreasi yang berasingan untuk lelaki dan perempuan dengan kemudahan riadah yang sesuai.
Dalam aspek pendidikan pula, Hatsun Badminton Centre menjalinkan kerjasama eksklusif dengan Lembaga Pusat Pendidikan Menengah (CBSE).
CBSE merupakan badan pendidikan peringkat kebangsaan di India untuk sekolah awam dan swasta yang dikawal dan diuruskan oleh Kerajaan India.
Lembaga tersebut menawarkan pelan kehadiran fleksibel khusus untuk atlet pelapis. Pendekatan ini membolehkan pemain meneruskan latihan intensif tanpa mengabaikan akademik mereka.
Selain itu, sokongan pembelajaran tambahan turut disediakan melalui tutor persendirian berpengalaman bagi membantu pemain mengikuti silibus, mengurus masa belajar serta memastikan prestasi akademik mereka tidak tercicir sepanjang tempoh latihan.
Dengan persekitaran sebegini, kehadiran legenda seperti Datuk Misbun Sidek dijangka bukan sahaja meningkatkan kualiti latihan di gelanggang, malah membentuk generasi pemain yang seimbang dari segi sukan, disiplin dan akademik.