Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli bertekad untuk mengulangi memori indah menjelang Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada Grand Prix (GP) Sepanyol, hujung minggu ini.

Litar Jerez bukanlah trek asing buat pelumba berusia 18 tahun itu memandangkan Hakim Danish sebelum ini pernah mencipta kejutan di litar sama apabila berjaya menaiki podium tempat kedua sebanyak dua kali berturut-turut ketika bersaing dalam kejuaraan berprestij Red Bull MotoGP Rookies Cup.

Hakim Danish
Kredit Foto: ZK Racing

Rekod cemerlang tersebut menjadi tonik tambahan buat Hakim Danish untuk memburu keputusan positif pada penampilan sulungnya di Moto3 kali ini.

Selepas berakhirnya saingan di GP Amerika Syarikat (COTA) tiga minggu lalu, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu memilih untuk tidak pulang ke tanah air, sebaliknya kekal di Sepanyol bagi menjalani persiapan rapi.

Persiapan Rapi Hakim Danish

Tempoh kira-kira tiga minggu tersebut dimanfaatkan sepenuhnya dengan latihan fizikal intensif termasuk latihan berbasikal, fitness dan riding bersama pelumba-pelumba kejuaraan dunia yang lain

Pelumba kelahiran Terengganu itu menyasarkan untuk memanfaatkan sepenuhnya selekoh berkelajuan tinggi (high-speed corners) yang menjadi kegemarannya, di samping bersedia menghadapi cabaran zon hard braking yang sinonim dengan litar tersebut.

Bagaimanapun, cabaran sebenar di Jerez dijangka menuntut tahap fokus tinggi sepanjang perlumbaan, terutama dari segi kawalan di setiap selekoh teknikal sepanjang 4.4 kilometer (km) yang mempunyai lapan selekoh kanan, lima selekoh kiri serta laluan lurus sejauh 607 meter.

Dengan persiapan mental dan fizikal pada tahap terbaik, Hakim Danish mahu memberikan aksi terbaik sambil mengharapkan doa serta sokongan tidak berbelah bahagi daripada seluruh peminat sukan permotoran tanah air.

Selepas membuat persiapan mental dan fizikal pada tahap terbaik, Hakim Danish mahu memberikan tentangan yang sengit sambil mengharapkan doa serta sokongan tidak berbelah bahagi daripada seluruh peminat sukan permotoran tanah air.

“Selepas tiga minggu berehat, minggu ini adalah minggu perlumbaan bagi pusingan keempat di Jerez. Saya sangat tidak sabar untuk kembali beraksi dan berasa cukup bersemangat serta bermotivasi menjelang hujung minggu ini.”

Hakim Danish
Kredit Foto: ZK Racing

“Untuk Litar Jerez, Saya tahu ia adalah litar kegemaran banyak pelumba dan mereka selalu melakukan latihan di litar ini tetapi ia bukanlah satu tentangan untuk saya dan saya yakin untuk memberikan yang terbaik.”

“Ia antara litar kegemaran saya kerana mempunyai beberapa selekoh berkelajuan tinggi yang saya gemari,” ujar Hakim Danish.

Sebagai rekod, selepas tiga perlumbaan, Hakim Danish kini menghuni tangga ke-14 keseluruhan carta kedudukan pelumba dengan mengumpul sembilan mata.