Bermula dari petak terakhir tidak langsung merentap semangat pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli untuk menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat 2026 di tempat ke-13, awal pagi tadi.

Hakim Danish yang terjatuh ketika sesi kelayakan hingga gagal mencatat masa terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-25, namun tidak membiarkan situasi itu menjejaskan fokusnya ketika turun bersaing di Litar Circuit of The Americas (COTA).

Sebaliknya, pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets-MSi itu mempamerkan tunggangan agresif dan konsisten apabila memperbaiki kedudukan seawal pusingan pertama.

Hakim Danish Pamer Semangat Juang Tinggi, Raih 3 Mata Di GP Amerika Syarikat
Kredit Foto: ZK Racing

Pelumba kelahiran Terengganu itu juga berjaya mencari ruang sebelum memintas tujuh pelumba dalam tiga pusingan awal untuk kembali bersaing dalam kelompok tengah.

Momentum tersebut diteruskan sepanjang perlumbaan meskipun berdepan cabaran terutama pengurusan tayar serta tekanan fizikal susulan insiden kelayakan pada Sabtu.

Hasil kerja keras Danish membuahkan hasil apabila berjaya menamatkan saingan di kedudukan ke-13 sekali gus mengutip tiga mata di COTA.

Selepas tiga pusingan, Hakim Danish kini menghuni tangga ke-14 keseluruhan selepas mengumpul 9 mata keseluruhan.

Semangat Juang Tinggi Hakim Danish

“Secara keseluruhan, perlumbaan di USGP ini sukar buat saya. Dalam sesi kelayakan, saya terjatuh dan tidak dapat mencatat masa, sekali gus terpaksa memulakan saingan dari petak terakhir.”

“Dalam perlumbaan, saya tidak berputus asa dan berjaya menamatkan saingan di kedudukan ke-13 keseluruhan. Ia sememangnya mencabar kerana saya perlu memintas ramai pelumba, terutama dalam tiga pusingan awal.”

“Ketika itu, semua pelumba berada dalam keadaan laju dan saya perlu mencari ruang pada setiap pusingan serta di setiap selekoh untuk memintas.”

“Alhamdulillah, saya berjaya memintas seorang demi seorang pelumba hadapan saya. Saya juga sedikit bergelut dengan tayar kerana menggunakan kompaun lembut.”

Hakim Danish Pamer Semangat Juang Tinggi, Raih 3 Mata Di GP Amerika Syarikat
Kredit Foto: ZK Racing

“Di COTA, litar ini panjang dan teknikal, jadi saya perlu mengawal jentera dengan baik. Saya juga hampir terjatuh pada baki lima pusingan terakhir, namun berjaya mengawal keadaan dengan baik.

“Sepanjang minggu ini, saya banyak belajar dan akan menjadikan pengalaman ini sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi kesilapan, terutama dalam sesi kelayakan.”

“Saya akan terus bekerja keras menjelang perlumbaan seterusnya di Jerez,” tambah Hakim Danish lagi.