Cabaran pelumba negara, Hakim Danish di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) kelas Moto3 bermula minggu ini dengan Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand menjadi destinasi pertamanya untuk memburu keputusan positif.
Pelumba berusia 18 tahun itu mengakui persediaan mental dan fizikalnya kini berada pada tahap optimum menjelang Grand Prix (GP) Thailand yang akan membuka tirai secara rasmi pada hujung minggu ini pada 27 Februari hingga 1 Mac.
Setelah menamatkan siri ujian pramusim di Litar Portimao (Portugal) dan Jerez (Sepanyol), anak jati Terengganu itu menyifatkan dirinya kini berada dalam momentum terbaik untuk memulakan cabaran musim penuh pertamanya di pentas dunia.
Pastinya, saingan kelas dunia tidak menjanjikan laluan mudah memandangkan kempen Moto3 musim ini menampilkan barisan muka baharu yang sangat kompetitif, diketuai oleh juara JuniorGP dan Red Bull MotoGP Rookies Cup, Brian Uriarte yang menyertai pasukan Red Bull KTM Ajo.

Selain itu, grid Moto3 turut diisi barisan rookie berpotensi besar seperti Marco Morelli (Aspar Team), Casey O’Gorman (SIC58 Squadra Corse), serta gandingan Honda Team Asia, Veda Pratama (Indonesia) dan Zen Mitani (Jepun).
Menyedari cabaran sengit tersebut, Hakim Danish yang menamatkan saingan tempat ketiga keseluruhan Red Bull MotoGP Rookies Cup musim lalu, bertekad memberikan yang terbaik seawal sesi latihan bebas pertama pada Jumaat ini.
Hakim Danish Optimis
“Perasaan saya menjelang GP Thailand ini amat teruja. Persediaan fizikal dan mental saya berada dalam keadaan yang sangat baik selepas menamatkan ujian di Portimao dan Jerez.”
“Walaupun masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan diperbaiki, saya yakin mampu memberikan persembahan terbaik pada perlumbaan pembukaan di Thailand nanti.”
“Saingan Moto3 sangat berbeza dari segi teknikal jentera dan pengurusan perlumbaan.”
“Namun, berbekalkan pengalaman beraksi dalam tiga perlumbaan pada tahun lepas, saya telah mengenal pasti aspek kritikal yang perlu dipertingkatkan, khususnya mencatat masa dalam sesi kelayakan dan strategi pada hari perlumbaan,” ujar Hakim Danish.