Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan rentak cemerlang dalam Terbuka China 2025 selepas berjaya melangkah ke separuh akhir kejohanan berstatus Super 1000 itu.
Pasangan utama negara itu menewaskan gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam aksi ‘straight set’ yang berlangsung selama 41 minit.
Baca Juga:
- Senarai Pemain Malaysia Mara Ke Separuh Akhir Terbuka China 2025

- Terbuka China 2025: Ini Jumlah Wang Tunai Bakal Diraih Pemain

- Sze Fei-Nur Izzudin Lakar Sejarah, Muncul Juara Terbuka China 2024

Selepas terikat 5-5 pada peringkat awal, Aaron dan Wooi Yik tampil lebih garang terutamanya selepas rehat ‘interval’ dengan mendahului 17-10.
Kelebihan itu digunakan sepenuhnya pasangan ranking kedua dunia untuk menang set pertama 21-13.
Skrip sama berulang selepas anak didik Herry Iman Pierngadi itu tenang memimpin perlawanan walaupun cuba ditekan Rankireddy-Shetty dan disudahkan dengan kemenangan 21-17 bagi melayakkan diri ke pentas final.
Ia merupakan kemenangan ketiga berturut-turut dilakarkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik ke atas lawan tersebut bagi melebarkan rekod kemenangan kepada 11-3.
Menanti mereka di pentas final esok ialah gandingan baharu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri yang menumbangkan wakil tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-19, 21-17.

Final Kelima Buat Aaron Chia-Soh Wooi Yik
Ini merupakan pentas final kelima buat Aaron-Wooi Yik pada tahun ini dimana sebelum ini mereka layak ke final Kejohanan Asia, Terbuka Thailand, Malaysia Masters dan Terbuka Singapura.
Daripada empat kejohanan tersebut, Aaron dan Wooi Yik berjaya mengungguli tiga saingan.
Ini juga menjadi peluang terbaik buat Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk meraih kejohanan berstatus Super 1000 pertama kali dalam karier mereka.