Pasangan yang baharu sahaja digandingkan, Aaron Chia-Aaron Tai meneruskan rentak cemerlang dalam kejohanan Terbuka Taiwan 2026 selepas berjaya melangkah ke pentas final.
Gandingan berbeza generasi itu mempamerkan semangat juang kental untuk menundukkan pasangan tuan rumah, Chen Cheng Kuan-Liu Kuang Heng menerusi aksi yang berlanjutan hingga ke set penentuan.
Malah, ribuan penyokong yang membanjiri Taipei Arena jelas amat terhibur dengan aksi penuh mendebarkan disajikan oleh kedua-dua pasangan ini.
Kejohanan kedua Berganding Bersama Buat ‘Kembar’ Aaron
Mendahului 11-7 pada rehat ‘interval’, gandingan negara itu kemudiannya memiliki kelebihan 17-14.
Namun Cheng Kuan dan Kuang Heng mempamerkan semangat juang tinggi untuk mengutip satu demi satu mata sekali gus membuatkan Chia- Tai tertekan. Kesempatan itu digunakan sepenuhnya wakil Taiwan tersebut untuk memenangi set pertama dengan keputusan 26-24.
Skrip hampir sama berlaku pada set kedua apabila jurang lima mata pada kedudukan 16-11 dimiliki anak buah Herry Iman Pierngadi itu berjaya disamakan Cheng Kuan-Kuang Heng hingga menjadi 18-18.
Namun, tuah memihak Aaron Chia-Tai yang lebih tenang menyerap tekanan hebat untuk menang 21-19 bagi membawa aksi ke set penentuan.
Aksi di set ketiga tidak kurang menariknya apabila sentiasa kejar mengejar mata yang akhir kemenangan menjadi milik ‘kembar’ Aaron itu dengan 21-16. Menanti mereka di pentas final esok ialah Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dari Indonesia.
Kejohanan Terbuka Taiwan 2026 merupakan saingan dalam kalendar Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) yang berstatus Super 300.