Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berpeluang raih gelaran pertama kejohanan badminton All England 2024 selepas mengesahkan kemaraan ke final awal pagi tadi.

Pasangan nombor lima dunia itu hanya memerlukan 36 minit bagi menumbangkan gandingan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 21-16, 21-15 pada aksi separuh akhir di Utilita Arena, Birmingham.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Kejayaan kali ini menyaksikan Aaron-Wooi Yik mengulangi pencapaian terbaik mereka di kejohanan berprestij yang berusia 125 tahun itu selepas turut melangkah ke final pada edisi 2019.

Mereka bakal bertemu pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto malam ini. Fajar-Rian melangkah ke final selepas menyingkirkan beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-18, 21-18.

Berdasarkan rekod pertemuan, Aaron-Wooi Yik mempunyai kelebihan apabila menang empat daripada tujuh perlawanan ke atas Fajar-Rian dengan kali terakhir menewaskan lawan itu ketika separuh akhir Terbuka India 2023 dalam pertarungan tiga set.

Jika Aaron-Wooi Yik berjaya menjuarai All England 2024, ia merupakan gelaran kedua terbesar yang diraih oleh mereka selepas muncul sebagai juara dunia pada tahun 2022.

Kali terakhir wakil Malaysia menjuarai kejohanan tersebut adalah pada tahun 2021 menerusi perseorangan lelaki, Lee Zii Jia. Selain itu, Malaysia pernah menjuarai acara beregu lelaki menerusi gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada tahun 2007.

Adakah Aaron-Wooi Yik bakal mengulangi pencapaian yang dilakukan oleh Koo Kien Keat-Tan Boon Heong? Sama-sama kita saksikan malam ini.